BANGI, 11 ZULKAEDAH – Nurul Izzah Anwar yang secara rasmi mengesahkan pencalonannya bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2025-2028, menepis kritikan bahawa pencalonannya memperkukuh persepsi PKR sebagai “Parti Anak Beranak”.
Sebaliknya, beliau berkata keputusan itu lahir daripada rasa tanggungjawab terhadap perjuangan reformasi yang diasaskan sejak 1998 dan bukan kerana warisan kekeluargaan.
Dalam satu kenyataan di media sosialnya, Nurul Izzah yang juga anak kepada Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkata persepsi “Parti Anak Beranak” bukan perkara baharu.
“Ia telah dilemparkan sejak zaman awal penubuhan parti,” katanya merujuk kepada label yang sudah sinonim digunakan terhadap keluarga pengasas parti itu sejak dua dekad lalu.
“Saya tetap percaya proses bertanding secara terbuka dan mendapat mandat akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme. Itulah asas demokrasi dalam parti.”
Beliau mengimbas situasi pada 2018 apabila menolak tawaran menjadi menteri bagi mengelak konflik kepentingan apabila ibunya, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Bahkan, katanya jika menang jawatan kali ini sekalipun, beliau tidak berminat menyertai Kabinet.
“Saya yakin yang rasional akan dapat membezakan antara dilantik oleh ahli keluarga dan diundi secara demokratik oleh anggota parti,” ujarnya.
Nurul Izzah turut menekankan bahawa misinya adalah memperkukuh cabang-cabang parti dan jentera akar umbi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sambil menyatakan bahawa kekuatan PKR terletak pada kesatuan dan gerak kerja tersusun di peringkat bawah, terutama di 50 kerusi marginal yang bakal menjadi penentu kemenangan.
“PRU-16 bukan boleh dimenangi menerusi usaha mana-mana individu. Kita hanya mampu menang dengan menggandingkan kekuatan cabang dan jentera akar umbi,” katanya yang meminta agar pusat dan cabang tidak lagi bergerak secara terpisah.
Dalam kenyataan itu, beliau menggariskan komitmen untuk memperkasa organisasi parti di peringkat akar umbi, mendengar suara anggota serta memastikan PKR kekal dekat dan relevan dengan rakyat.
“Kita harus mengembalikan roh perjuangan asal parti, membawa keadilan kepada semua tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Menjelang pemilihan parti yang dijangka hangat, Nurul Izzah turut mengingatkan semua penyokong agar menjaga adab serta mengelak serangan peribadi terhadap calon lain, namun melahirkan rasa kecewa terhadap sesetengah kempen yang menyentuh soal peribadi termasuk status perkahwinannya.
“Seruan saya kepada semua, jangan sesekali menyerang sahabat seperjuangan dengan biadab. Berhujahlah dengan fakta, bukan dengan hinaan dan kata-kata kesat,” katanya yang berharap agar pemilihan parti kali ini menjadi medan menyatukan kembali kekuatan PKR, bukan memecah-belahkan.
“Dipilih ataupun tidak, kasih dan taat setia saya sentiasa bersama KEADILAN. Saya akan terus membantu merealisasi impian dan misi kita bersama,” ujar Nurul Izzah.
Pemilihan KEADILAN 2025 dijangka menyaksikan persaingan sengit bagi jawatan tertinggi parti dengan isu pembaharuan dalaman, keupayaan mengemudi cabaran nasional dan kesinambungan idealisme Reformasi menjadi antara teras utama kempen para calon.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi