Dua pelajar Tingkatan Lima didakwa rogol dalam kelas di Melaka

BANGI, 24 RABIULAKHIR – Dua daripada empat pelajar lelaki yang terbabit dalam kes rogol pelajar perempuan tingkatan tiga dalam kelas di sebuah sekolah, didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Alor Gajah, Melaka hari ini.

Kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdepan tiga pertuduhan membabitkan kesalahan merogol secara berkumpulan, melakukan persetubuhan bertentangan tabii dan amang seksual fizikal.

Selepas pertuduhan dibacakan, seorang daripada tertuduh mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan.  Seorang lagi tertuduh  mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Mengikut laporan Bernama, bagi pertuduhan pertama, mereka secara bersama didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana secara berkumpulan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Bagi pertuduhan ini, mereka berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Untuk pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh masing-masing didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman sama.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kelas di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, kira-kira jam 2.50 petang pada 30 September lalu.

Pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Ahmad Sazali Omar mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap setiap tertuduh dengan alasan kes berkenaan adalah serius.

Bagaimanapun, tertuduh pertama yang mengaku tidak bersalah, dan diwakili peguam Chua Yong Yi, memohon jaminan rendah atas faktor anak guamnya mengalami masalah kesihatan kerana baru selesai menjalani pembedahan sinus, selain menghidap penyakit hernia (angin pasang).

Tertuduh kedua yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan turut memohon jaminan rendah serta bersedia menerima sebarang syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.

Majistret Dr Teoh Shu Yee kemudian membenarkan mereka diikat jamin RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan masing-masing RM1,500 bagi pertuduhan kedua dan ketiga, menjadikan jumlah jaminan RM7,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 November depan sebagai tarikh sebutan serahan dokumen bagi tertuduh pertama dan laporan akhlak bagi tertuduh kedua sebelum menjatuhkan hukuman.

Pada 11 Oktober lalu, empat pelajar lelaki direman enam hari selepas disyaki merogol mangsa secara bergilir-gilir di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kes disiplin sekolah: Kembalikan kuasa guru

Next Post

KRIM perangi wabak pornografi, laksana modul Repro Alert di sekolah

Related Posts