Oleh: Balqis Idris
BANGI, 2 ZULKAEDAH — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak boleh ‘menyorok’ di bawah alasan agama, kaum dan bangsa (3R) untuk tindakan yang dilakukannya, kata peguam, Lukman Sheriff Alias
Beliau berkata, ini kerana 3R tidak disebut langsung di bawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya dan Komunikasi Multimedia.
“Walaupun kita maklum, bahawa kenyataan SKMM merujuk siasatan berkenaan institusi Raja, SKMM mesti menjelaskan mengapa hantaran ‘SCRUT Nurul Izzah’ salah ataupun berkait dengan institusi Raja.
“Rakyat sudah maklum melalui hantaran Aliff, hantaran tersebut telah disoal siasat.
“Kalau lihat posting Aliff lima hari sebelumnya, tiada hantaran menyentuh institusi Raja. Jadi, SKMM perlu jelaskan kenapa hantaran ini berbentuk 3R,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini,.
Terdahulu, Aliff dipanggil oleh SKMM susulan tawarannya untuk menjalankan semakan latar belakang secara terperinci terhadap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar melalui platform ‘SCRUT’.
Menurut kenyataan SKMM, pihaknya sudah mengambil tindakan siasatan terhadap pempengaruh tersebut mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Mengulas lanjut, Lukman berpandangan bahawa tindakan SKMM terhadap Aliff ekoran hantaran ‘SCRUT Nurul Izzah’ adalah membimbangkan.
Jelas beliau, hantaran yang menyatakan Aliff ingin membuat carian pekerjaan atau pembiayaan Nurul Izzah adalah persoalan yang sahih memandangkan Naib Presiden PKR itu adalah seorang figura awam.
“Bukankah patut lagi telus lagi bagus. Kalau SKMM tak benarkan ini, implikasinya lebih besar dari Nurul Izzah.
“Kalaulah kita tak boleh soal pembiayaan mana-mana figure awam dan disoal siasat SKMM, ini amat bahaya kerana ia menakutkan kita untuk mendedahkan salah laku seorang figuran awam atau politik,” ujarnya.
Tambah beliau, hantaran oleh Aliff itu sepatutnya tidak menjadi masalah atau dikategorikan sebagai ‘jelik melampau’.
Tegas Lukman, hantaran itu juga bukan 3R malah, Nurul Izzah sendiri bersetuju bahawa Aliff tidak patut disiasat atas hantaran sedemikian.
“Keduanya, hantaran SCRUT Nurul Izzah tidak mendedahkan apa-apa lagi.
“Hanya menyatakan ALiff nak mula buat carian pembiayaan Nurul Izzah. Tetapi belum belum dedah apa-apa.
“Seksyen 233 bukan ‘preemptive’. Hantaran itu mesti menyatakan satu yang menyalahi. Patutnya SKMM tunggu pendedahan dan bertindak balas,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi