BANGI, 17 RABIULAKHIR – Walaupun menerima teguran keras daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing masih mempertahankan bahawa majlis makan malam yang dikaitkan dengan hidangan arak baru-baru ini bukan acara rasmi kerajaan.
Menurut beliau, majlis berkenaan dianjurkan sepenuhnya oleh pihak swasta sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan sektor pelancongan negara, dan bukan di bawah kendalian rasmi kementeriannya.
“Saya dan MOTAC menyesali sebarang kekeliruan dan salah faham yang menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan rakyat. Sekali lagi, kesulitan amat dikesali,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, Khamis.
King Sing berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun).
Beliau menjelaskan, majlis makan malam itu dihadiri kira-kira 600 penggiat industri pelancongan luar negara dan dianjurkan sepenuhnya oleh pihak swasta sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan negara.
Majlis itu juga, katanya, berjaya memeterai potensi jualan pelancongan bernilai RM100 juta.
“Penggiat pelancongan ambil alih cuma persiapan, ini tidak lagi jadi makan malam rasmi. Cuma logo kita,” jelas beliau.
Menurut King Sing, majlis berkenaan tidak tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan 3/2003 kerana ia bukan acara rasmi kerajaan.
“Saya tekankan majlis makan malam itu bukan rasmi tapi anjuran swasta, oleh itu pekeliling perkhidmatan 3/2003 tidak terpakai dan isu berkaitan arak tidak sepatutnya timbul,” tegasnya lapor MalaysiaGazette.
Sementara itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataannya menegaskan pihaknya mengambil iktibar daripada kejadian tersebut dan akan memastikan perkara sama tidak berulang.
Menurut MOTAC, semua program di bawah seliaannya selepas ini akan dipastikan mematuhi garis panduan serta etika yang ditetapkan kerajaan.
Langkah itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada kementerian berkenaan supaya memastikan dasar kerajaan yang melarang hidangan arak dalam acara rasmi dipatuhi sepenuhnya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa alasan “arak dihidang selepas acara rasmi tamat” adalah tidak wajar.
Sebelum ini, tular gambar majlis Global Travel Meet 2025 Gala Dinner di bawah Tourism Malaysia yang memaparkan hidangan minuman beralkohol.
King Sing bagaimanapun menjelaskan bahawa majlis itu dianjurkan oleh pihak industri dan sektor swasta yang teruja dengan acara global tersebut hingga menaja serta meraikan rakan-rakan antarabangsa mereka.
Katanya, penganjuran selama dua hari setengah itu berjaya menjana impak ekonomi dianggarkan bernilai RM420 juta.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi