Parti HATI biadab! Ridhuan Tee tempelak gesaan larang hidangan daging lembu

BANGI, 17 RABIULAKHIR – Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah menempelak kenyataan Presiden Parti Hari Rakyat Malaysia (HATI), Chan Tse Yuen yang menggesa kerajaan supaya melarang hidangan daging lembu dalam majlis rasmi kerajaan atas alasan menghormati penganut agama Hindu dan Buddha.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai kurang ajar dan biadab terhadap Islam serta kedudukan agama Persekutuan di negara ini.

“Kurang ajar betul. Parti HATI lebih baik kamu berhati-hati sebelum hati kamu jadi buta,” tegasnya. 

Parti HATI dalam kenyataannya baru-baru ini mendakwa, jika arak tidak boleh dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan, maka hidangan daging lembu juga perlu dilarang kerana kononnya ia bertentangan dengan kepercayaan penganut agama tertentu memandangkan Malaysia negara berbilang kaum.

Ridhuan Tee menempelak kenyataan itu sebagai tidak berasas dan menggambarkan sikap hipokrit yang hanya menggunakan alasan kepelbagaian kaum apabila menyentuh kepentingan Islam dan orang Melayu.

“Kalau begitu apa kata kita haramkan juga semua aktiviti yang diharamkan oleh agama lain seperti judi, riba, kelab malam yang juga terang-terang bertentangan dengan agama lain, termasuk agama kamu (Buddha),” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Ridhuan Tee berkata, umat Islam di negara ini sudah cukup bertolak ansur dan meraikan kepelbagaian dengan menyediakan pelbagai pilihan makanan dalam majlis rasmi kerajaan.

“Pemimpin negara Islam ini sudah cukup baik, sentiasa meraikan kepelbagaian, memberikan pilihan terhadap kamu untuk makan dalam majlis jamuan kerajaan. Macam-macam hidangan ada, terutama yang tidak memakan daging lembu,” ujarnya.

Ridhuan Tee juga membidas kenyataan parti itu yang dianggap tidak menghormati sensitiviti agama majoriti di negara ini, iaitu Islam.

“Kamu mahukan negara Malaysia meraikan semua agama dan semua kaum. Tetapi sejauh mana kamu menghormati kedudukan agama majoriti, agama Islam sebagai agama Persekutuan?,” soalnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa umat Islam di negara bukan Islam seperti India dan China menghadapi tekanan besar dalam mengamalkan ajaran agama mereka, berbeza dengan keadaan di Malaysia yang sentiasa meraikan perbezaan.

“Cuba kamu pergi ke India. Ada 174 juta penganut beragama Islam. Nak makan atau sembelih lembu pun tak boleh, sebab duduk dalam negara bukan Islam. Sebelum lembu kena sembelih, dia kena sembelih dahulu,” katanya.

Ridhuan Tee turut melahirkan kebimbangan bahawa golongan seperti ini akhirnya akan menuntut supaya doa semua agama dibacakan dalam majlis rasmi kerajaan atas alasan meraikan kepelbagaian.

“Percayalah, satu hari nanti orang yang kurang ajar seperti kamu akan mencadangkan agar doa semua agama dibacakan dalam majlis rasmi kerajaan atas alasan negara ini berbilang kaum,” katanya.

Kenyataan Presiden HATI yang juga bekas pemimpin MCA, disiarkan oleh portal Malaysiakini pada 8 Oktober lalu. 

Dalam kenyataannya, beliau menggesa Kabinet mengeluarkan arahan melarang hidangan daging lembu dalam majlis rasmi kerajaan atas alasan langkah itu akan mencerminkan Malaysia yang bukan sahaja mengajar toleransi, tetapi mengamalkan persefahaman antara semua agama.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

UMNO, PN perlu bersatu jadi kuasa semak dan imbang – Presiden BERJASA

Next Post

Hidangan arak dalam majlis rasmi langgar roh Perlembagaan – Timbalan Mufti Perak

Related Posts