BANGI, 16 RABIULAKHIR – Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman menegur keras Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang dianggap berlagak seperti ‘ulama’ apabila menentukan apa yang kononnya isu besar atau kecil bagi umat Islam.
Beliau menegaskan, isu arak bukan perkara remeh kerana ia melibatkan soal prinsip, maruah serta penghormatan terhadap Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.
“Jangan nak jadi ‘ulama’ kepada apa yang kononnya isu besar atau kecil bagi umat Islam. Isu arak bukan isu kecil, ia soal prinsip, maruah dan hormat kepada Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.
“Kor Ming boleh cuba bagi seribu alasan, tapi rakyat bukan bodoh. Bila majlis kerajaan ada arak, rakyat nampak itu sebagai kecuaian bukan kebetulan.
“Jangan cuba tegakkan benang basah dengan retorik ‘kita terbuka dan bertoleransi’ sebab toleransi bukan bermakna tunduk kepada perkara yang salah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Ahli Dewan Negara itu, UMNO Johor akan terus bersuara setiap kali ada mana-mana pemimpin – sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang – yang cuba meminggirkan sensitiviti umat Islam.
“Kita bukan mahu cari gaduh, tapi bila Islam diperlekeh, kita wajib bangun mempertahankannya.
“Saya juga menasihatkan pegawai atau kakitangan awam supaya elaklah untuk hadiri majlis yang ada hidangan arak supaya kita tak bersyubahah nanti.
“Malaysia boleh terus maju, terbuka dan mesra dunia tanpa perlu gadai prinsip agama. Dan kalau ada yang tak boleh faham perkara semudah ini, mungkin dia yang patut belajar semula apa erti hormat agama rasmi negara,” tegas beliau.
Abdul Halim berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kor Ming yang sebelum ini menyeru semua pihak agar tidak membesarkan isu hidangan arak pada acara Global Travel Meet 2025 baru-baru ini.
Kor Ming dilaporkan berkata, isu tersebut tidak perlu diperbesarkan atau dijadikan polemik kerana ia boleh menjejaskan imej negara, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Kita perlu menonjolkan imej Malaysia sebagai destinasi yang mesra dan terbuka kepada pelancong dari seluruh dunia. Jika kita terus mencipta isu-isu sebegini, sukar untuk kita bekerjasama dan mencapai matlamat bersama,” kata pemimpin DAP itu.
Bagaimanapun, Abdul Halim menegaskan kenyataan Kor Ming yang menganggap isu arak sebagai isu kecil menjelang TMM2026 menunjukkan beliau gagal memahami denyut nadi umat Islam di Malaysia.
“Bagi saya, ini bukan soal ‘nak cari gaduh’ atau ‘tak faham etika antarabangsa’, tapi lebih penting, ia soal menghormati agama rasmi negara – Islam.
“Jangan anggap orang Melayu Islam tak faham dunia. Kor Ming seolah-olah cuba menggambarkan bahawa rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu Islam, bodoh atau tak matang dalam memahami etika acara antarabangsa.
“Hakikatnya, umat Islam di Malaysia sudah lama hidup bersama kepelbagaian kaum dan budaya. Kita faham tentang adat dan norma global,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi