Melayu bukan pendatang! Menangkis usaha memutar sejarah Tanah Melayu

Sejak beberapa minggu yang lalu, malah sebenarnya usaha ini dilihat sudah bermula sejak beberapa tahun yang lalu, munculnya usaha segelintir pihak cuba mengubah naratif sejarah Tanah Melayu dengan menafikan hakikat bahawa orang Melayu adalah penduduk asal Semenanjung ini. Dakwaan seperti “Melayu adalah pendatang” sering dikaitkan dengan tafsiran arkeologi pada penemuan fosil Perak Man di Lenggong, yang dikatakan daripada etnik Negrito, bukan Melayu.

Artikel ini menolak tafsiran sempit pihak sebelah sana dan mengemukakan beberapa hujah berdasarkan sumber sejarah, linguistik, antropologi serta geopolitik bahawa orang Melayu ialah bangsa asal yang membentuk peradaban dan identiti, malah tamadun di rantau ini.

Tanah Melayu sejak ribuan tahun telah menjadi pusat tamadun dan pertembungan pelbagai bangsa di Asia Tenggara. Fakta ini boleh diperoleh kerana dunia teknologi sudah serba canggih, kita boleh dapat sumber ilmu apa sahaja dari dunia maya medsos (media sosial). Mengikut sumber, nama “Tanah Melayu” itu sendiri bukan sekadar istilah geografi, tetapi cerminan kepada identiti sejarah dan bangsa yang telah lama bertapak di rantau ini.

Sebagai contoh penamaan The Malay Peninsula dalam peta-peta Barat sejak abad ke-15 bukan dibuat secara arbitrari; ia menggambarkan pengiktirafan antarabangsa terhadap dominasi etno-linguistik dan budaya Melayu di Semenanjung ini. Namun, dalam arus politik dan wacana semasa, tiba-tiba muncul segelintir dengan kecenderungan baharu untuk menafsir semula sejarah, kononnya orang Melayu hanyalah “pendatang” dari Kepulauan Indonesia.

Dakwaan ini bukan sahaja bertentangan dengan fakta sejarah, malah berpotensi menggugat asas negara-bangsa masyarakat Malaysia yang majmuk yang berpaksikan warisan Tanah Melayu. Penemuan Perak Man di Lenggong sering dijadikan hujah bahawa penduduk awal Semenanjung bukan Melayu, tetapi Negrito. Namun, hujah ini lemah dari sudut kronologi dan antropologi kerana Perak Man dianggarkan berusia kira-kira 10,000–11,000 tahun, jauh sebelum pembentukan etno-linguistik moden seperti “Melayu”. Dalam antropologi, bangsa dan etnik terbentuk hasil evolusi sosial dan budaya, bukan hanya biologi.

Kajian menunjukkan bahawa orang Melayu-Proto dan Melayu-Deutero adalah hasil gelombang migrasi Austronesia dari kawasan Nusantara yang berasimilasi dengan penduduk tempatan – termasuk kelompok Negrito -membentuk identiti baharu yang kini disebut “Melayu”. Maka, perbezaan antara Negrito dan Melayu bukan menunjukkan pertukaran penduduk, tetapi perkembangan evolusi budaya dan ras Asia Tenggara yang melahirkan peradaban Melayu serantau.

Penamaan “Tanah Melayu” telah wujud jauh sebelum penjajahan Barat. Sumber sejarah seperti Sejarah Melayu (abad ke-16), catatan China (Dinasti Ming) yang menyebut “Mo-lo-yu”, catatan Arab dan India purba, semuanya menunjukkan pengiktirafan terhadap entiti politik dan budaya “Melayu” di Semenanjung dan Kepulauan atau lebih tepat di rantau Nusantara ini.

Peta Portugis abad ke-16 dan peta British awal abad ke-19 menggunakan istilah Malay Peninsula, yang secara literal bermaksud “Semenanjung orang Melayu”. Ini bukan sekadar penamaan tetapi pengiktirafan terhadap kelompok bangsa yang mendominasi rantau ini dari segi politik, bahasa dan kebudayaan.

Dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (1948) dan kemudiannya Malaysia (1963) bukan proses kebetulan. Nama Malaysia diambil daripada penggabungan “MALAY + SI(A)” yang secara langsung merujuk kepada asal identiti politiknya iaitu Tanah Melayu. Maka, identiti Melayu adalah asas kepada pembentukan negara moden ini. Usaha menafikan hakikat ini seolah-olah cuba menghapuskan sejarah politik yang sah – satu bentuk revisi sejarah yang berbahaya kepada keharmonian nasional.

Menyatakan bahawa orang Melayu bukan penduduk asal Tanah Melayu ialah satu bentuk manipulasi sejarah yang menyeleweng daripada konteks ilmiah. Walaupun secara biologi tiada bangsa yang “lahir” di satu titik tanpa migrasi, hakikat sejarah menunjukkan orang Melayu ialah kumpulan etno-linguistik yang paling lama bertapak, membina kerajaan, budaya, bahasa dan tamadun di Semenanjung ini.

Penamaan Tanah Melayu bukan sekadar label geografi, tetapi pengiktirafan kepada bangsa yang membina asas rantau ini. Maka, menukar naratif ini bermakna menafikan sejarah, warisan dan identiti yang membentuk negara Malaysia hari ini.

Haji Rashidi Haris
Ketua Media Gabungan Nasionalis


Rujukan

Syed Muhammad Naquib al-Attas. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. DBP, 1990.

Andaya, Barbara & Leonard Y. Andaya. A History of Malaysia. Palgrave Macmillan, 2017.

Bellwood, Peter. The Austronesians: Historical and Comparative Perspectives. ANU Press, 2005.

Buyong Adil. Sejarah Tanah Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971.

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman. Tamadun Awal Asia Tenggara. DBP, 1992.

Winstedt, R.O. The Malays: A Cultural History. Routledge, 1950.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

IDENTITI bantah Tourism Malaysia promosi acara Halloween di Sunway Lagoon

Next Post

Maksud Pribumi merujuk kepada ‘orang asal’ – Prof Murad

Related Posts