BANGI, 15 RABIULAKHIR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengecam keras Amerika Syarikat (AS) kerana bersubahat dengan jenayah genosid Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza yang dikepung.
Bekas Perdana Menteri menegaskan, Israel sekali lagi menggagalkan usaha penghantaran bantuan ke Gaza, mengulangi insiden pada 2010.
Kegagalan itu lebih parah apabila Washington memberi sokongan penuh terhadap setiap kezaliman rejim Zionis.
“Kegagalan kerajaan dunia, proses undang-undang antarabangsa, malah gerakan masyarakat awam, berpunca daripada sokongan penuh AS terhadap setiap jenayah Israel, termasuk pembunuhan beramai-ramai, pengeboman, pemusnahan hospital serta pembunuhan wartawan,” kata beliau dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Beliau menambah, Amerika Syarikat tidak boleh melepaskan diri daripada menjadi rakan dalam perang genosid di Gaza.
“Dana dan senjata datang daripada Amerika Syarikat, manakala AS menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi gencatan senjata oleh majoriti anggota Perhimpunan Agung PBB,” ujarnya.
Dr Mahathir menegaskan, Amerika Syarikat bukan sahaja bersekongkol, malah bersalah melakukan genosid terhadap rakyat Palestin, termasuk wanita, kanak-kanak, bayi, dan pesakit hospital di Gaza.
“Amerika Syarikat telah kehilangan hak untuk menduduki kedudukan moral yang tinggi mulai sekarang hingga ke masa depan,” tegasnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi