Oleh Azzman Jamal
BANGI, Rabu – Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B2 dan B1 kepada Kelas B yang mula dilaksanakan pada 1 Oktober lalu dibimbangi tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat terutama membabitkan isu keselamatan jalan raya.
Ini kerana, pemilikan motosikal dengan kapasiti enjin atas daripada 250cc lebih menjurus kepada kemewahan dan bukannya keperluan ketika harga motosikal bagi kategori ini dianggap sebagai harga premium.
Sebagai contoh, kebanyakan motosikal yang berkapasiti atas 250cc kebiasannya mencecah puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit, sekali gus menyaingi harga sebuah kereta.
Jika dibandingkan dengan motosikal berkapasiti 250cc ke bawah pula, harganya kebiasaan dalam lingkungan ribuan dan belasan ribu ringgit, menepati bajet golongan ‘marhaen’ yang memerlukan pengangkutan.
Justeru, ini menjadi satu perdebatan orang ramai sekiranya seseorang itu perlu memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi sedangkan duit itu boleh digunakan untuk membeli sebuah kereta yang menjamin keselamatan jauh lebih baik.
Bercakap kepada TV Pertiwi, Hezeri Samsuri menyifatkan keputusan kerajaan mengumumkan inisiatif ini sebagai satu langkah tergesa-gesa sedangkan banyak lagi isu lain perlu diberi perhatian terlebih dahulu.
Luahnya, bukan sahaja inisiatif tersebut dianggap sebagai keputusan ‘separuh masak’, tetapi ia dianggap isu remeh bersifat populis yang dipengaruhi aspek-aspek politik.
“Kita sudah tidak boleh cakap apa sebab kementerian (Pengangkutan) sudah buat keputusan. Mungkin mereka sudah buat kajian.
“Cuma kita tidak pasti berapa banyak institusi memandu akan sertai kempen ini kerana kosnya terlampau rendah, RM160. Saya tidak tahu bagaimana mereka tentukan kosnya.
“Saya rasa semua ini dibuat secara tergesa-gesa dan cara mereka sampai maklumat pun tidak seberapa (efisien). Masih lagi banyak perkara yang tidak dirungkaikan,” katanya kepada TV Pertiwi.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pemegang LMM Motosikal Kelas B1 dan B2 yang mematuhi syarat boleh mendapatkan LMM Motosikal Kelas B bermula 1 Oktober 2024.
Antara syarat yang ditetapkan ialah individu tersebut memegang LMM kelas B1 dan B2 secara aktif untuk tempoh berterusan minimum 10 tahun.
Selain itu, pemohon juga perlu bebas daripada sebarang senari hitam, tunggakan saman, sekatan urusniaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.
Mengulas lanjut, Hezeri berkata, berbanding memperkenalkan program ini, kerajaan sewajarnya utamakan isu lebih kritikal seperti Permit Masuk Kenderaan (VE) dari Singapura atau isu kemalangan membabitkan kenderaan muatan berat yang mengakibatkan kematian di atas jalan raya.
“Contohnya kita tengok hari-hari ada kemalangan ngeri. Kita tak nampak sangat tindakan kementerian seperti terhadap kenderaan komersial atau lori muatan berat. Masih lagi macam itu juga.
“Maknanya, mereka (pemimpin) sasarkan keputusan yang hanya akan popularkan mereka. Ini adalah tindakan sangat kurang matang,” katanya.
#TVPertiwi
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.