BANGI, 14 RABIULAKHIR – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyifatkan tindakan tidak bertanggungjawab penganjur Global Travel Meet 2025 Gala Dinner yang dilaporkan menghidangkan arak secara terbuka kepada tetamu adalah penghinaan terhadap Islam dan ancaman kepada identiti negara yang meletakkan Islam sebagai agama negara.
Presiden ISMA, Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat, berkata maklumat yang tular menunjukkan acara berskala besar di Sunway Resort Hotel, Selangor pada 1 Oktober lalu, secara jelas menggunakan nama dan imej rasmi pelancongan negara.
Menurutnya, majlis yang dihadiri oleh wakil antarabangsa, menyediakan “free flow” minuman beralkohol seperti wain, bir dan wiski kepada tetamu.
“Walaupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menafikan penglibatan langsung Tourism Malaysia dalam penyediaan makanan dan minuman,majlis itu tetap berlaku di bawah nama acara rasmi negara yang membawa nama Global Travel Meet Malaysia 2025,” katanya.
Beliau berkata, ISMA menegaskan bahawa perbuatan menganjur, menghidang dan mempromosi arak adalah termasuk dosa besar yang dilaknat Allah SWT dan Rasul-Nya.
“Firman Allah SWT ((Surah al-Mā’idah: 90): “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
“Rasulullah SAW juga bersabda (Riwayat Ibn Mājah & Tirmizi): “Rasulullah melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak; peminumnya, pembuatnya, pemerahnya, pembawanya, yang minta dibawakan, yang menuangkan, yang menjual, yang membeli, yang memakan hasil jualannya dan yang memesan,” katanya.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy berkata, tiada ruang kompromi bagi mana-mana entiti di bumi Malaysia untuk menghalalkan atau menormalisasikan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
Menurutnya, ISMA ingin mengingatkan seluruh agensi kerajaan dan swasta bahawa negara ini berdiri atas dasar Islam dan maruah bangsa Melayu-Muslim.
“Sebarang cubaan untuk menormalisasikan arak atas alasan “acara pelancongan antarabangsa” adalah tindakan menjual kehormatan Islam kepada budaya liberal Barat,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia adalah tanah air umat Islam yang telah dipelihara dengan darah dan sejarah perjuangan umat menyebabkan tindakan provokosi seperti ini adalah pengkhianatan terhadap pengorbanan generasi pejuang terdahulu dalam memelihara agama Islam di negara ini.
Menurutnya, ISMA juga meminta umat Islam agar bersatu sebagai sebuah ummah bagi mempertahankan kehormatan agama ini dan menolak sebarang bentuk pelancongan, hiburan atau acara rasmi yang mencemar hukum Allah.
Katanya, tindakan tegas juga mesti diambil terhadap pihak yang melakukan kesalahan besar in, manakala kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan kerana ini jelas mecemar kesucian agama Islam dan sensitiviti umatnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi