BANGI, 9 RABIULAKHIR – Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, hari ini memerintahkan bekas ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, menjalani hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan berhubung kesalahan merogol pembantu rumahnya enam tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir Paul, 55, untuk mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman penjara termasuk sebatan.
Paul yang sebelum ini pernah menjadi ahli DAP, kelihatan sugul selepas mendengar keputusan itu di kandang tertuduh.
Dalam prosiding hari ini, Paul diwakili peguam, Datuk Rajpal Singh, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir. Pendakwaan selaku responden dikendalikan dua Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari dan Mohd Fuad Abd Aziz.
Paul didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada 23 Ogos 2019 atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, ketika kejadian berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumah tertuduh, di daerah tersebut antara jam 8.15 hingga 9.15 malam 7 Julai 2019.
Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi daerah sama.
Perbicaraan bermula 5 April 2021 dengan 23 individu termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.
Paul diperintah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut pada 7 Disember tahun sama.
Pada 27 Julai 2022, Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak, bersalah dan dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan.
Pada 1 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya,mengekalkan sabitan bersalah dan dua sebatan terhadapnya.
Bagaimanapun mahkamah mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun. Paul yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 5 Mac.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi