BANGI, 9 RABIULAKHIR – Menjelang kehadiran Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur hujung bulan ini, Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim memberi peringatan keras mengenai kerakusan Amerika Syarikat (AS) menguasai nadir bumi dunia yang mendedahkan negara kecil seperti Malaysia kepada eksploitasi dan tekanan ekonomi.
Beliau menegaskan, isu nadir bumi bukan sekadar soal ekonomi, tetapi menyentuh maruah bangsa dan kedaulatan negara yang tidak boleh sama sekali digadai kepada kuasa asing.
“Amerika semakin rakus menguasai nadir bumi dunia, menjadikan negara kecil seperti kita terdedah kepada eksploitasi dan tekanan ekonomi.
“Kita mesti berani mempertahankan maruah negara dengan menguasai sepenuhnya sumber nadir bumi, bukan membuka ruang demi keuntungan pihak luar.
“Kedaulatan tidak boleh dijual beli, dan bangsa ini perlu berdiri atas kekuatan sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ustaz Zamani berkata, Amerika tidak lain hanyalah wajah kemusnahan dan kerosakan yang telah terbukti dalam sejarah, khususnya terhadap rakyat Palestin.
“Amerika adalah wajah kemusnahan dan kerosakan. Sejarah membuktikan, veto mereka berkali-kali digunakan untuk menafikan hak rakyat Palestin.
“Sampai bila kita mahu mengukur kestabilan negara dengan restu kuasa asing, sedangkan maruah bangsa dan kedaulatan negara sepatutnya dipertahankan dengan kekuatan yang dibina sendiri,” tegas beliau.
Trump dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Kehadiran Trump juga telah disahkan oleh pihak kerajaan sebagai sebahagian daripada urusan diplomatik Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.
Laporan turut menyebut bahawa jemputan Trump mengundang kritikan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendesak kerajaan membatalkan undangan tersebut kerana merujuk kepada sokongan Trump terhadap Israel.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan itu dengan menegaskan ia perlu dilihat dalam konteks diplomasi dan geopolitik antarabangsa.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi