BANGI, 20 MUHARRAM – Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu membenarkan permohonan pendakwaan melucut hak sebuah kereta Proton X70 bernilai RM115,000 milik isteri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Terengganu, Aida Tengah.
Panel tiga hakim, iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, sebulat suara menolak rayuan Aida, 50, selepas mendapati pendakwa raya selaku responden memenuhi beban pembuktian mengikut Seksyen 41(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Aida ialah isteri kepada Datuk Tengku Hassan Tengku Omar yang ketika itu merupakan EXCO Pelaburan Yayasan Terengganu dan juga Exco Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan negeri itu.
Ketika membacakan keputusan, Ahmad Fairuz berkata, mahkamah bersetuju dengan keputusan mahkamah rendah (Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu) bahawa prosiding perlucuthakan mengikut Seksyen 41(1) SPRM adalah bersifat ‘in-rem’ (permohonan terhadap harta) dan bukan personal.
Beliau berkata, responden juga berjaya membuktikan atas kebarangkalian bahawa kereta itu adalah hal berkaitan kesalahan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan kesalahan menerima harta alih mengikut Seksyen 165 kanun sama.
Berhubung kesalahan pecah amanah, katanya adalah jelas bahawa ahli Lembaga Pengarah Hygenia Sdn Bhd, Abdul Ahad Khan, diamanahkan dengan wang pelaburan berjumlah RM3.8 juta tanpa kebenaran untuk kegunaan peribadi dan sebanyak RM115,000 daripada wang itu digunakan untuk membeli kereta yang didaftarkan atas nama perayu (Aida).
Menurutnya, penjawat awam yang menerima hadiah berharga adalah jelas suami perayu (Tengku Hassan) selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Yayasan Terengganu (ketika itu), manakala Abdul Ahad ada urusan rasmi dengan jawatan suami perayu.
“Penerimaan kereta itu oleh perayu melalui suaminya adalah suatu hadiah berharga tanpa balasan yang mencukupi yang diterima penjawat awam daripada seorang yang mempunyai urusan rasmi.
“Oleh demikian, kami menolak rayuan ini dan mengekalkan perintah perlucuthakan yang dibuat Mahkamah Sesyen (Kuala Terengganu) yang dikekalkan Mahkamah Tinggi (Kuala Terengganu) dan kereta Proton X70 hendaklah dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” katanya.
Pada 8 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucut hak kereta terbabit yang didapati adalah hasil dan berkaitan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan 165 Kanun Keseksaan. Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 14 Mac 2024.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan Muhammad Asraf Mohamad Tahir bertindak bagi pihak pendakwaan, manakala peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili perayu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi