BANGI, 8 RABIULAKHIR – Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menegur Menteri Pengangkutan berhubung tragedi kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang, dengan menyifatkannya kenyataan Anthony Loke Siew Fook sebagai tidak sensitif, salah fokus dan tidak kena pada masa.
Terdahulu, Anthony Loke ada menyatakan bahawa kegagalan penggunaan child seat adalah punca bayi tercampak keluar dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang.
“Saya tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi ini satu peringatan penting kepada semua. Ramai yang mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan child seat kerana faktor kos, namun insiden ini membuktikan betapa pentingnya ciri keselamatan itu.
“Bayangkan jika bayi tersebut berada dalam child seat, kemungkinan besar dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” kata Loke.
GPS dalam kenyataan menegaskan, kenyataan tersebut tidak sensitif, tidak kena pada masa dan salah fokus kerana isu sebenar yang perlu ditangani adalah kelemahan penguatkuasaan melibatkan kenderaan berat di jalan raya.
“Walaupun lori hanya sebahagian kecil daripada jumlah kenderaan di lebuh raya, kesannya terhadap statistik kemalangan maut sangat besar.
“Inilah masalah sebenar yang sepatutnya jadi fokus Menteri Pengangkutan.
“Menuding jari kepada rakyat dengan alasan bayi tidak guna child seat walau benar sekalipun, sangatlah tidak sensitif terutamanya kepada keluarga mangsa,” katanya.
Menurut GPS, kenyataan Anthony Loke bukan sahaja bersifat “heartless”, malah menimbulkan persoalan sama ada beliau cuba mengalihkan perhatian daripada isu sebenar demi menutup kelemahan penguatkuasaan.
Sehubungan itu, GPS menuntut Anthony Loke memohon maaf secara terbuka kepada rakyat, khususnya keluarga mangsa kemalangan.
Pada 27 September lalu, seorang bayi lelaki maut manakala lapan individu lain cedera dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berjaya dikeluarkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi