Pujian DAP terhadap UEC di Sabah – amaran buat kita semua

BANGI, 3  RABIULAKHIR – Keputusan kerajaan Negeri Sabah untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) nampaknya segera diraikan oleh DAP. Tidak sampai sehari, Pengarah Dasar DAP tampil memuji Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kononnya kerana berjaya menunjukkan kesaksamaan terhadap semua rakyat.

Bunyinya manis, tetapi kita perlu jujur: DAP memang sudah lama menjadikan pengiktirafan UEC sebagai agenda politik mereka. Jadi, tidak pelik apabila mereka menjadi pihak paling gembira apabila Sabah melangkah ke arah itu.

Sebagai Ketua Menteri, memang Hajiji bertanggungjawab membela semua rakyat tanpa mengira kaum. Itu tugas beliau. Tetapi jangan sampai keputusan besar seperti ini dilihat seolah-olah berlaku atas tekanan pihak tertentu, apatah lagi demi kepentingan politik sempit.

Isu UEC bukan perkara baharu. Ia ditolak di peringkat nasional kerana tidak selaras dengan sistem pendidikan kebangsaan. Silibusnya datang dari luar, tidak menekankan bahasa kebangsaan, dan gagal mendukung aspirasi perpaduan negara.

Soalnya, mengapa kita sanggup memberi ruang kepada sistem yang berjalan di luar kerangka kebangsaan? Bukankah itu hanya akan menambah jurang pemisah antara kaum?

Jika Sabah membuka pintu, negeri-negeri lain pasti akan ditekan untuk ikut sama. Akhirnya dasar pendidikan negara yang sepatutnya menjadi tapak penyatuan anak bangsa tergadai sedikit demi sedikit.

Kita selalu melaungkan soal kesamarataan. Tetapi kesamarataan yang adil bukanlah dengan memberi laluan istimewa kepada aliran pendidikan yang enggan tunduk kepada dasar kebangsaan. Itu bukan adil, itu istimewa.

Kerajaan Sabah perlu berhati-hati. Jangan sampai pengiktirafan ini dilihat sebagai “hadiah politik” untuk menyenangkan hati pihak tertentu. Politik mungkin sementara, tetapi kesannya terhadap sistem pendidikan dan perpaduan negara akan kita tanggung untuk puluhan tahun akan datang.

Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kerajaan berat sebelah, setinggan Jinjang dilindungi tapi pemilik sah Kampung Sungai Baru diusir

Next Post

Satu aliran sukar dicapai, Sekolah Kebangsaan perlu diperkukuh

Related Posts