SUNGAI PETANI, Isnin – Lebih 10 tahun penemuan kapal purba yang disifatkan penting kepada negara tetapi sehingga kini misterinya belum dirungkai.
Rahsia kapal purba di sungai kuno yang pernah mengalir di kawasan bersejarah “Kedah Tua” ribuan tahun dahulu masih kekal misteri.
Bajet dan peruntukan, dikatakan menjadi penghalang besar untuk kajian lebih lanjut mengenainya dan kos yang agak tinggi bagi mengeluarkan artifak yang berselut lumpur.
Wartawan TV Pertiwi meninjau tinggalan purba itu yang dikesan tertanam di dalam sebuah kawasan berpaya dan berselut di tapak arkeologi Sungai Batu, Kedah.
“Di Sungai Batu ada satu kawasan yang berpaya sekarang ini dari segi geologinya. Bila kita petakan, ia sebuah paya yang besar sebagai tasik kuno, lebih kurang pada masa tamadun berlangsung dan itu memang masuk ke Sungai Batu Kuno. Maknanya bila kapal masuk untuk ambil besi, akan pusing di tasik itu dan berlabuh. Jadi kita mengambil pendekatan membuat kajian geofizik imbas dahulu dari atas ada tak apa-apa dari bawah. Jadi daripada imbasan itu memberi gambaran ada kapal karam di bawah sekurang-kurangnya lima biji lima buah kapal.”
– Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan
Menurut Profesor Mokhtar, kapal purba tersebut dibongkar pada tahun 2011.
Penemuan ini tercetus apabila tiang layar berukuran 18 kaki dan paku kapal bersaiz lapan hingga 10 inci terlihat pada permukaan lumpur.
Bagaimanapun menurut Prof. Mokhtar, usaha untuk membongkarkan misteri kapal purba ini terhenti di tengah jalan berikutan memerlukan kos yang sangat besar melebihi RM100 juta yang belum lagi termasuk kos penjagaan dan rawatan artifak penting ini.
Selain kapal purba, terdapat penemuan sejarah yang sangat bermakna iaitu alat peleburan besi yang dipercayai digunakan sekitar 788 sebelum masihi di Sungai Batu yang dipanggil tuyer dan relau.
Penemuan penting ini adalah satu yang sangat berharga dalam tamadun manusia namun, usaha evakuasi dan menarik minat awam kepada penemuan bersejarah tidak begitu ditekankan.
“Saya rasa apa yang berlaku kepada sejarah negara memang terlalu perlahan banyak sejarah negara yang kita ada tapi tindakan untuk menjadikan kurikulum pendidikan pun perlahan apatah lagi menjadikan produk pelancongan sebagai jati diri bangsa sangat perlahan dan perlu ada inisiatif dari semua orang bukan sahaja kerajaan malah daripada bawah kita perlu bergerak ke atas kalau kita tekan dari bawah ke atas yang atas akan lihat keperluan negara.”
– Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata, bukan masalah duit yang menjadi penghalang sejarah Melayu tidak dibongkarkan tetapi berkemungkinan ada pihak cuba menyekat dan mahu membiarkan bangsa ini tidak mengetahui sejarah mereka.
Katanya, visi untuk mencungkil sejarah negara perlu jelas kerana untuk memahami apa yang berlaku kini dan melambangkan sesuatu bangsa adalah melihat kepada sejarah asalnya.
Aminuddin turut menganggap Sungai Batu sangat signifikan dalam memahami sejarah Melayu di rantau ini.
“Saya merasakan bahawa ada tekanan tertentu samada dalam atau luar negara tidak mahu orang Melayu ini seolah-olah lebih lama dan mempunyai sejarah yang lebih hebat daripada barat itu bagi saya anggapan saya dan mungkin sesetengah daripada sejarawan. Jadi bagi saya apa yang ada dalam Sungai Batu ini satu sejarah yang sangat unik perlu dibongkar oleh pihak kerajaan.”
– Aminuddin Yahaya, Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)
Dalam pada itu, terdapat usaha-usaha sedang dilakukan Jabatan Warisan bagi mengangkat tempat sejarah ini antaranya terus menjaga dan memelihara tapak Sungai Batu sebagai tamadun awal dan menaik taraf infrastruktur bagi kemudahan pelancong yang hadir.
“Bagi kemudahan pelancongan kita usaha untuk menjalankan atau membina menaik taraf infra pelancongan bagi keselesaan para pelancong pertama, kedua kita juga ada perancangan untuk membina pusat atau galeri di tapak arkeologi Sg Batu ni. Itu semua dalam perancangan kita.”
-Ardi Asmera Saeman, Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Utara
Tambahnya, usaha untuk menarik orang ramai mengunjungi kawasan ini terus dilakukan dengan menganjurkan program seperti Festival dan seminar Kedah Tua serta yang terbaru Festival Purwa Puitika pada 2 dan 3 September yang lepas.
Sehubungan itu usaha-usaha untuk mengangkat sejarah negara dilihat perlu diteruskan kerana banyak lagi tinggalan sejarah yang masih menjadi misteri patut dikaji dan dipersembahkan kepada khalayak ramai.
https://www.youtube.com/watch?v=uKWIgsJe46I