BANGI, 26 RABIULAWAL – BERJASA menggesa kerajaan agar menyelesaikan isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru dengan berhemah tanpa meminggirkan kepentingan penduduk yang tidak bersetuju untuk rumah mereka dirobohkan oleh pemaju.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkatam pihaknya menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah agar pembangunan semula di Kampung Sungai Baru, dilaksanakan secara teliti dan berhemah dengan mengutamakan kepentingan orang Melayu.
Selain itu, katanya BERJASA mendengar penjelasan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjelaskan bahawa pembangunan semula Kampung Sungai Baru tetap perlu diteruskan dengan segera bagi memastikan penduduk kawasan kampung tersebut mendapat rumah yang selayaknya.
Namun, katanya pemaju yang menguruskan projek ini perlu tampil ke hadapan menyahut jaminan daripada kerajaan untuk pastikan rumah yang dibangunkan oleh mereka ini memang akan dimiliki oleh penduduk asal yang majoritinya Melayu nanti.
“Walaupun tanah ini tidak digazetkan sebagai tanah rizab Melayu, pemaju dan semua pihak harus sedar bahawa tanah di kawasan itu kekal sebagai anugerah Sultan Selangor kepada orang Melayu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Hamdan berkata, sejarah Kampung Baru yang menjadi kawasan penempatan orang Melayu sejak 1899 untuk pertanian hasil kurniaan Sultan Selangor kelima, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah dan diwartakan sebagai rizab Petempatan Pertanian Melayu (MAS) pada 1900 perlu dilindungi oleh kerajaan.
Pada masa sama, beliau menempelak kerajaan yang dilihat memberikan layanan berbeza kepada orang Melayu dalam soal pemilikan tanah.
“Layanan yang berbeza ini perlu dihentikan kerana ia menampakkan kerajaan seolah bersikap berat sebelah dalam menguruskan isu ini,” katanya.
Beliau berkata, BERJASA amat mengharapkan warisan orang Melayu tidak pudar di Kuala Lumpur walaupun bandaraya itu semakin pesat dalam mengejar pembangunan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi