Penduduk bantah perobohan zalim, Kampung Sungai Baru dalam kawasan MAS

BANGI, 25 RABIULAWAL – Penduduk Kampung Sungai Baru menegaskan bahawa kerja-kerja perobohan atau pengosongan paksa tanpa perintah mahkamah adalah tidak sah dan menzalimi penduduk.

Pada masa sama, mereka merakamkan penghargaan kepada Dato’ Seri Johari Abdul Ghani kerana menegaskan bahawa Kampung Sungai Baru berada dalam kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS), yang memberi makna besar dalam mempertahankan hak penduduk.

Serentak itu, mereka mendesak Ahli Parlimen Titiwangsa segera campur tangan bagi menghentikan tindakan tersebut, bukan sekadar membuat kenyataan dalam podcast.

“Ahli Parlimen Titiwangsa digesa campur tangan segera bagi memberhentikan kerja-kerja perobohan yang sedang atau akan dijalankan tanpa sebarang perintah mahkamah, kerana tindakan tersebut adalah tidak sah dan menzalimi penduduk,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Penduduk turut menyeru kerajaan, agensi berkaitan dan masyarakat umum memahami realiti sebenar yang dihadapi penduduk, selain menegaskan status Kampung Sungai Baru dalam kawasan MAS.

Menurut Jawatankuasa Penduduk, tindakan susulan akan diumumkan berhubung isu perobohan dan pengosongan paksa.

Sidang media tergempar akan diadakan pada jam 4 petang ini, di hadapan rumah Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Kg Sungai Baru, susulan podcast Ahli Parlimen Titiwangsa pada 17 September yang menyentuh isu pembangunan dan nasib penduduk.

Isu Kampung Sungai Baru bermula apabila kerajaan mengumumkan pengambilan tanah melalui perundangan selepas pewartaan pada Jun 2021 di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Pengambilalihan tersebut melibatkan lebih 400 unit kediaman termasuk rumah teres dan flat, serta menjejaskan lebih 2,000 penduduk.

Ramai penduduk menolak tawaran pampasan kerana mendakwa nilainya jauh lebih rendah daripada harga pasaran sebenar, memandangkan kedudukan tanah berada di tengah ibu kota berhampiran kawasan segitiga emas Kuala Lumpur. Sebahagian kecil penghuni flat menerima tawaran, tetapi majoriti pemilik rumah teres kekal membantah.

Pertikaian semakin rumit apabila status tanah Kampung Sungai Baru dipersoalkan. Penduduk menegaskan kampung itu termasuk dalam kawasan MAS, yang sepatutnya dilindungi sebagai tanah hak milik orang Melayu dan tidak boleh diambil sewenang-wenangnya.

Ketegangan memuncak pada September 2025 apabila operasi pengosongan dan perobohan mula dijalankan terhadap beberapa unit rumah.

Penduduk membantah keras kerana sebahagian kes masih dalam proses perundangan, dan tindakan meroboh dianggap terburu-buru serta menafikan hak mereka sebagai pemilik tanah yang sah.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

UEC barah perpaduan negara

Next Post

Isu Kampung Sungai Baru mesti diteliti, utamakan kepentingan Melayu – Sultan Selangor

Related Posts