Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 24 SYAWAL – Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir akan mengemukakan bantahan secara rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan parti (JPP) berhubung keputusan Pemilihan Keadilan Cabang Johor Bahru.
Akmal yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sebelum ini gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru selepas tewas kepada pencabarnya, Mohamad Taufiq Ismail yang merupakan Ketua AMK Johor.
Menurut beliau, bantahan itu dibuat selepas ketua operasi Get Out The Voters (GOTV), Stanley Tan Boon Heng pada hari pengundian telah membuat akuan bersumpah bagi mempertahankan jumlah undi sekurang-kurangnya 949 undi yang diterimanya selaku calon Ketua Cabang Johor Bahru.
“Seperti yang saya kongsikan, angka-angka ini bukan sekadar anggota yang mengundi berdasarkan GOTC malah bukti pengundian dan sokongan telah direkodkan secara jelas.
“Angka ini disokong oleh Borang 14 yang telah diperakukan oleh Ketua Tempat Mengundi, senarai pengundi beserta tandatangan pengakuan dan bukti bergambar,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, dilaporkan Akmal Nasrullah memperoleh 587 undi manakala Mohamad Taufiq sebanyak 709 undi.
Mengulas lanjut, Akmal menyifatkan keputusan di Cabang Johor Bahru tidak terkecuali dari kejadian fenomena ‘badan tanpa kepala’.
“Majoriti AJK Cabang yang menang iaitu 10 orang adalah daripada pasukan kami.
“Kejadian ajaib juga berlaku untuk AMK iaitu hanya ‘kepala’ Ketua AMK yang ‘dipenggal’ sedangkan Timbalan hingga semua AJK AMK menang manakala sayap Wanita pula jawatan Ketua dan Timbalan diganggu sedangkan Naib dan AJK pasukan Akmal Nasir menang,” ujarnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi