Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Khamis – Himpunan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Razak yang dijangka akan berlangsung pada 6 Januari depan dilihat sebagai satu permainan politik yang tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat, kata Ketua Penerangan PEJUANG, Rafique Rashid.
Beliau berkata, isu berkaitan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu sewajarnya tidak lagi dipersoalkan memandangkan ia telah diputuskan oleh sembilan hakim bahawa Najib bersalah dengan dua hakim menolak semakan keputusan.
Justeru, katanya, rakyat seharusnya bijak menilai apa yang sedang berlaku dan menganggap debat mengenai ‘status’ Najib sebagai sandiwara serta retorik wayang politik antara PKR dan UMNO ketika kedua-dua parti politik itu masih berada di bawah bumbung kerajaan yang sama.
“Malulah wahai rakyat. Apabila seluruh dunia mentertawa Malaysia mangsa kleptokrasi terbesar dunia, kita masih sibuk memilih siapa jagoan dalam mengumpul penyokong bagi solidariti.
“Pada masa rakyat dibebani pelbagai masalah dari harga barang ke isu beras putih kepada isu tarif elektrik ke isu subsidi diesel dan pasaran dunita tidak menentu kerana situasi geopolitik dunia, ada juga yang masih hendak tahu sama ada (Najib) layak duduk di rumah berbanding di penjara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Rafique turut mempersoalkan pendirian parti komponen Pakatan Harapan (PH) membabitkan PKR, DAP dan Amanah berhubung isu ini apabila berkongsi wadah perjuangan sama ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk melawan kleptokrat.
Justeru, beliau mempersoalkan sama PH pada 2016 hingga 2018 sekadar menggunakan nama Najib sebagai sasaran untuk merampas pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN).
“Parti-parti politik mula menyusun persepsi. Tidak ketinggalan tokoh-tokoh dari parti politik ini mula bandingkan pengampunan dua Perdana Menteri.
“Maka bersoraklah penyokong pihak masing-masing. Ada yang kerah bas, ada yang buat kenyataan, tidak kurang juga yang ambil laba politik di dada akhbar dan layar media sosial.
“Soalan yang sepatutnya ditanya, apa yang rakyat dapat dari perhimpunan 6 Januari depan?” soal beliau.
Mengulas lanjut, Rafique berkata, pengampunan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 lalu adalah bukti janji yang dikotakan yang mana ia telah dicabar di mahkamah dan disahkan.
Katanya, pengampunan pada 2018 adalah bukti bahawa janji yang telah dibuat pada pentas pilihan raya dan rakyat percaya pada perjuangan lawan rasuah, maka janji dan mandat rakyat itu mesti dilaksana.
“Lain pula untuk pengampunan kali ini. Siapa yang berjanji pada rakyat akan beri pengampunan kali ini?
“Pengampunan itu prerogatif Yang di-Pertuan Agong setelah terima nasihat dari Lembaga Pengampunan. Itu undang-undang bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Apa kata Menteri Wilayah Persekutuan? Mengapa senyap? Apa nasihat Lembaga Pengampunan pada masa kertas dan surat pengampunan Perdana Menteri Keenam dibicara?
“Maka tontonlah sandiwara ini. Tunggu sehingga 6 Januari dan selepas itu ianya akan beralih ke isu lain pula kerana itulah politik di Malaysia, rakyat nombor dua, yang nombor satu ahli politik hanya mahu nama,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI