BANGI, 24 RABIULAWAL – Penasihat Undang-Undang Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), berhubung isu pengusiran penduduk kampung itu sebagai mengejutkan dan tidak boleh diterima, selain mengelakkan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat yang terkesan.
N Surendran berkata, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyatakan bahawa penduduk Kampung Sungai Baru yang berdepan pengusiran mesti berbincang terus dengan pemaju untuk menghentikan proses pengusiran, kerana ia bukan keputusan kerajaan, sebaliknya ditentukan oleh mahkamah.
Beliau menegaskan bahawa bukan mahkamah yang merampas secara paksa tanah dan harta penduduk yang terlibat, tetapi kerajaan yang melakukannya dan mahkamah tidak mempunyai pilihan setelah kerajaan menguatkuasakan Akta Pengambilan Tanah 1960 pada 2021 demi kepentingan pemaju.
“Tindakan ini membawa kepada perampasan tanah penduduk yang tidak bersetuju dengan terma yang ditawarkan pemaju, dan mencetuskan kontroversi nasional berhubung pengusiran penduduk.
“Pengambilan paksa ini adalah tindakan drastik kerajaan menggunakan kuasa luar biasa untuk merampas rumah serta tanah penduduk dan menyerahkannya kepada pemaju. Hakikat bahawa pampasan yang dipertikaikan diberikan tidak mengubah keadaan bahawa tanah dan rumah tersebut diambil secara paksa,” katanya dalam satu kenyataan.
Surendran mempersoalkan mengapa kerajaan tidak membenarkan penduduk berunding terus dengan pemaju dan mencapai persetujuan adil tanpa pengambilan paksa kerana proses itu walaupun mungkin mengambil masa lebih lama, tetapi lebih adil kerana dicapai dengan persetujuan penduduk.
Setelah kerajaan menggunakan kuasa keras merampas ini, katanya menteri berkenaan kini tidak boleh melepaskan tanggungjawab kerajaan untuk menyelesaikan nasib penduduk yang terkesan.
“Menteri dan Kerajaan Persekutuan tidak boleh sekadar “melepaskan tangan” kepada mahkamah atau pemaju. Sama ada mahkamah mahu pun pemaju tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk merampas tanah secara paksa; kerajaanlah yang berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata, Zaliha memilih untuk tidak menyentuh langsung soal pengambilan paksa tanah Kampung Sungai Baru oleh kerajaan pada 2021.
“Mengapa beliau berdiam diri? Adakah kerana menteri tidak mampu mempertahankan tindakan merampas tanah dan rumah rakyat hanya untuk tujuan pembangunan semula?,” katanya
Beliau berkata, pengambilan paksa tanah oleh kerajaan hanya boleh digunakan apabila ia benar-benar berkepentingan kritikal untuk negara dan tidak sepatutnya digunakan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi semata-mata bagi tujuan pembinaan bangunan komersial atau pusat beli-belah seperti yang dirancang di Kampung Sungai Baru.
Katanya, pengambilan paksa tanah tidak seharusnya mengakibatkan keuntungan besar kepada pemaju sehingga merugikan pemilik rumah dan hanya digunakan apabila terdapat kepentingan awam yang sangat mendesak.
“Zaliha juga mendakwa bahawa 28 peratus penduduk yang menentang cadangan pembangunan menyebabkan “kekejaman golongan minoriti” terhadap baki 72 peratus penduduk yang bersetuju. Dakwaan ini salah secara moral dan undang-undang kerana ia menggambarkan seolah-olah penduduk yang membantah menindas majoriti yang bersetuju,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penduduk minoriti tersebut adalah pemilik sah tanah dan rumah serta mempunyai hak undang-undang untuk sama ada menerima atau menolak terma yang ditawarkan pemaju kerana pemilikan harta adalah hak asasi yang dijamin oleh Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
“Bagaimana pelaksanaan hak undang-undang dan hak Perlembagaan terhadap pemilikan boleh dianggap sebagai “kekejaman golongan minoriti”? Nampaknya menteri tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan istilah itu,” katanya.
Beliau berkata, Zaliha turut mendakwa penduduk yang membantah berbuat demikian kerana “tidak berpuas hati dengan pampasan”.
“Ini tidak benar. Bantahan sebenar penduduk ialah terhadap perampasan tanah secara paksa oleh kerajaan dan penyerahannya kepada pemaju. Dakwaan ini mengejutkan kerana menteri tidak mempunyai sebarang autoriti untuk bercakap bagi pihak penduduk yang membantah.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi