KHAMIS, 2 DISEMBER – Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion yang masih belum mampu mengekang impak PKP memberi petanda banyak lagi yang masih perlu dilakukan oleh kerajaan.
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan dan agensi di bawahnya mencari jalan terbaik membantu rakyat bukan sahaja dari aspek melonggarkan syarat berbentuk fiskal semata-mata. Tetapi memastikan juga penguatkuasaan yang lebih telus dan tuntas agar tidak ada pihak yang cuba menangguk di air keruh.
Menurut Presiden DPMM, Abdul Halim Husin, Bantuan Sara Hidup (BSH) perlu diberikan sebanyak RM1,200 sebulan untuk tempoh 6 bulan kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM5,000 dan kebawah. Katanya, bantuan ini seharunya dapat dinikmati bersama oleh sektor ekonomi informal termasuk pertanian dan lain-lain.
Selain itu, semua bentuk premis, termasuklah premis perniagaan yang menerima manfaat moratorium hendaklah membenarkan penangguhan bayaran sewa kepada penyewa, dan tidak membenarkan tindakan pengusiran atau pengisytiharan muflis sekurang-kurangnya sehingga 6 bulan selepas tempoh moratorium berakhir.
Abdul Halim turut menyarankan Pembekuan pembayaran atau pengecualian bayaran caj utiliti, SSM dan KWSP selama 6 bulan untuk sektor PMKS, serta tawaran rebat oleh operator telekomunikasi untuk untuk panggilan serta penggunaan internet tanpa wayar.
Tambahnya, Bank Negara perlu memainkan peranan dengan memastikan KPI atau skala pematuhan yang berlainan khusus bagi menangani suasana ekonomi yang getir, atau ketika fasa pemulihan berkuatkuasa dengan melonggarkan syarat-syarat kewangan.
Menyediakan dana pusingan untuk pemulihan serta pembangunan PMKS Bumiputera yang akan dikendalikan secara bersama oleh Kementerian Kewangan (melalui TERAJU) dan NGO-NGO Ekonomi Bumiputera bagi menangani krisis ekonomi.