ISNIN, 10 JANUARI – Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 global kini melebihi 306 juta, berikutan pertambahan lebih 2 juta kes dalam tempoh 24 jam yang lepas.
Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan, Amerika Syarikat masih kekal negara paling terjejas dengan lebih 60 juta kes.
Ini diikuti India dan Brazil dengan masing-masing merekodkan 35.5 juta kes dan 22.5 juta kes.
Negara yang melebihi angka 10 juta kes adalah United Kingdom, Perancis dan Rusia manakala Turki merekodkan lebih 9 juta kes.
Sementara Itali, Sepanyol dan Jerman melebihi tujuh juta kes. Di Asia Tenggara, Indonesia kekal merekodkan jumlah kes positif tertinggi dengan lebih 4.2 juta.
Diikuti Filipina hampir 3 juta, Malaysia 2.7 juta dan Thailand dengan 2.2 juta kes. Manakala Singapura melebih 285 ribu kes.
Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini melebihi 5.48 juta.
Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 837 ribu kes.
Ini diikuti Brazil dengan lebih 620 ribu kes, India lebih 483 ribu kes dan Rusia lebih 309 ribu kes.