BANGI, 3 RABIULAWAL – Syarikat yang melaksanakan projek infrastruktur awam, terutama pengangkutan rel dan jambatan adalah antara syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) yang mengalami kerugian.
Berdasarkan maklumat laporan kewangan beraudit 2023, syarikat berkenaan termasuk Prasarana Sdn Bhd (Prasarana), Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB).
Kementerian Kewangan menyatakan, kerugian syarikat MKD berkenaan adalah bagi menyokong penyediaan perkhidmatan untuk keselesaan rakyat dengan kadar tambang yang murah dan berpatutan.
Namun Kementerian Kewangan menegaskan, MKD sebagai pemegang saham majoriti syarikat sentiasa berusaha meningkatkan kawalan bagi memantau prestasi syarikat dari segi kewangan dan tadbir urus supaya operasi syarikat MKD selaras dengan objektif penubuhan dan mandat yang ditetapkan.
“Antara langkah untuk meningkatkan pemantauan terhadap syarikat MKD adalah melalui pembentangan pelan perniagaan tahunan syarikat, penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) syarikat dan laporan pencapaian KPI setiap suku tahun, Pelaporan Penyata Kewangan Beraudit Tahunan dan Pelaporan Pengurusan Kewangan Suku Tahun.
“MKD juga mengambil inisiatif dengan mengadakan Mesyuarat Corporate Improvement Programme (CIP) bagi syarikat MKD yang tidak mencapai sasaran KPI sekurang-kurangnya 80 peratus pada tahun semasa, yang mana Mesyuarat CIP bertujuan mengenal pasti masalah yang dihadapi syarikat dan membincangkan penambahbaikan struktur syarikat.
“Syarikat MKD yang gagal mencapai sasaran KPI juga diminta mengemukakan penjelasan lanjut dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan syarikat bagi memperbaiki prestasi serta kedudukan kewangan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kementerian Kewangan menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai senarai 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mencatatkan kerugian tertinggi dan langkah serta tindakan undang-undang yang diambil kerajaan untuk menangani kerugian itu.
Pada masa sama, Kementerian Kewangan menyatakan bahawa ada syarikat MKD mencatatkan keuntungan, iaitu Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), IJN Holdings Sdn Bhd dan SIRIM Berhad.
Menurut Kementerian Kewangan, penubuhan syarikat GLC di bawah MKD bukan berorientasikan keuntungan, tetapi untuk tujuan tertentu berdasarkan mandat yang ditetapkan kerajaan seperti menyediakan perkhidmatan dan obligasi sosial kepada rakyat, seperti perkhidmatan pengangkutan/infrastruktur awam dan utiliti.
Selain itu, Kementerian Kewangan menyatakan untuk menggalakkan pembangunan ekonomi melalui sokongan kepada pewujudan industri baharu, terutama yang memerlukan modal awalan yang besar dan menggalakkan pembangunan teknologi, seperti aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) serta menarik pelabur tempatan dan asing melabur dalam bidang khusus yang bernilai tinggi, seperti kecerdasan buatan (AI), nanoteknologi dan teknologi maklumat.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi