Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 9 RAMADAN — PAS mendoakan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan hidayah untuk bercakap benar bersempena kemuliaan Ramadan yang dipenuhi keberkatan.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata Perdana Menteri perlu bercakap berlandaskan fakta dengan tidak menokok tambah perkara yang tidak benar.
“Marilah kita sama-sama berdoa di bulan Ramadan ini agar dibukakan pintu hidayah untuk Perdana Menteri kita berkata benar dan tidak menokok tambah sesuatu fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas kenyataan Anwar berhubung gaji ahli parlimen.
Anwar ketika bercakap kepada pemberita di Cyberjaya hari ini memaklumkan gaji ahli parlimen termasuk pelbagai elaun boleh mencecah sehingga RM30,000 ke RM40,000 sebulan.
Katanya, tidak wajar apabila terdapat ahli parlimen mendakwa mereka terpaksa berhutang dengan gaji yang mencecah RM40,000 sebulan.
“Menyatakan ahli parlimen jadi miskin papa kedana adalah tidak benar. Saya tidak tahulah RM40,000 miskin lagi. Hutang kalau beli kereta banyak, isteri banyak mungkinlah,” katanya.
Ahmad Fadhli dalam kenyataan sama bagaimanapun berkongsi pautan berita yang mendedahkan purata gaji seorang ahli parlimen.
Berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Pembayaran Gaji) 1980, gaji bulanan seorang wakil rakyat termasuk elaun boleh mencecah purata RM25,700.
Ahli parlimen juga boleh menuntut pelbagai elaun atau subsidi tertentu seperti kehadiran ke mesyuarat Parlimen RM400 sehari dan elaun bengkel RM300 sehari.
Elaun bulanan lain termasuk perjalanan RM1,500, bahan api (RM1,500), tol (RM300), pemandu (1,500), bil telefon (RM900) dan bayaran istimewa (RM1,500).
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi