SETIAP kali isu Jalur Gemilang terbalik berlaku, yang lebih mengecewakan bukan sekadar kecuaian pelaku, tetapi sikap segelintir pemimpin yang masih cuba mencari alasan untuk meredakan keadaan. Lebih malang, ada pula yang seakan-akan mahu membela perbuatan salah ini dengan hujah teknikal, seolah-olah maruah negara boleh dirunding.
Persoalannya: adakah bendera Malaysia sudah begitu murah nilainya sehingga boleh dikibarkan sesuka hati, kemudian ditutup dengan alasan “tidak sengaja”?
Bagi rakyat yang cintakan negara, Jalur Gemilang bukan sekadar kain berjalur merah putih dengan bulan dan bintang kuning. Ia adalah simbol kemerdekaan, kedaulatan, dan harga diri bangsa Malaysia. Mengibarkannya secara terbalik, sama ada dengan sengaja atau tidak, adalah penghinaan yang tidak boleh diterima.
Kerajaan dan pemimpin mesti bertegas. Tidak boleh ada kompromi, tidak boleh ada alasan, apatah lagi cubaan untuk melindungi pihak yang bersalah. Jika rakyat bawahan boleh dikenakan tindakan atas kesalahan kecil, mengapa dalam isu sebesar ini, ada pemimpin masih lembik dan teragak-agak?
Lebih membimbangkan, individu yang berani menegur perbuatan ini pula menjadi sasaran. Apakah mesej yang mahu dihantar? Bahawa suara rakyat yang mempertahankan maruah negara lebih mudah didakwa berbanding mereka yang jelas menghina simbol negara? Jika beginilah keadaannya, pemimpin bukan sahaja gagal, bahkan memberi isyarat bahawa kedaulatan boleh dipijak sesuka hati.
Ketegasan pemimpin adalah kayu ukur sejauh mana negara ini benar-benar mempertahankan identiti dan maruahnya. Jika pemimpin sendiri memilih jalan mudah dengan berdiam diri atau mencari alasan, jangan salahkan rakyat jika mereka hilang keyakinan terhadap kerajaan dan institusi penguatkuasaan.
Kita sudah terlalu banyak memberi muka. Bendera negara bukan bahan ujikaji, bukan bahan eksperimen, dan bukan bahan untuk dijadikan alasan kecuaian. Ia adalah simbol yang mesti dipertahankan dengan tegas dan tanpa kompromi.
Kini masanya pemimpin menunjukkan keberanian sebenar, jangan lagi lembik, jangan lagi mencari helah. Jalur Gemilang adalah lambang maruah negara, dan ia wajib dipertahankan, walau dengan apa cara sekalipun.
Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi