CHICAGO, 2 RABIULAWAL – Satu kes parasit screwworm, pemakan daging dikenal pasti membabitkan seorang individu di Maryland yang baru pulang ke Amerika Syarikat (AS) dari Guatemala.
Individu berkenaan yang menerima rawatan di Maryland merupakan kes baharu pertama tahun ini di AS bagi screwworm, parasit yang membunuh lembu dan haiwan berdarah panas lain ketika masih hidup.
Kes itu dikesan ketika wabak berkenaan semakin merebak ke utara dari Amerika Tengah dan selatan Mexico.
Doktor haiwan di Dakota Selatan, Beth Thompsom, berkata kes itu dimaklumkan minggu lalu oleh seseorang yang mempunyai maklumat langsung.
Sumber kedua yang enggan dikenali mengaku melihat e-mel yang dihantar oleh seorang eksekutif kumpulan industr,i Beef Alliance pada 20 Ogos lalu kepada kira-kira dua dozen individu dalam sektor ternakan dan daging lembu, memaklumkan bahawa Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) telah mengesahkan kes manusia screwworm di Maryland membabitkan seorang yang pulang dari Guatemala.
CDC menyerahkan semula maklumat kepada pihak berkuasa negeri Maryland semasa panggilan telefon dengan pegawai kesihatan haiwan negeri, kata Thompson.
“Kami mengetahui kes itu melalui saluran lain, kemudian terpaksa bertanyakan CDC untuk meminta penjelasan. Mereka tidak telus sama sekali. CDC serahkan semula kepada negeri untuk mengesahkan apa yang berlaku terhadap pengembara itu,” katanya.
Kes yang disahkan ini muncul hanya seminggu selepas Setiausaha Pertanian AS, Brooke Rollins dan pegawai kerajaan lain berkunjung ke Texas untuk mengumumkan rancangan membina kemudahan penghasilan lalat steril bagi memerangi perosak tersebut.
Apa itu screwworm?
Screwworm ialah lalat parasit yang betinanya bertelur pada luka haiwan berdarah panas. Apabila menetas, ratusan larva menggunakan mulut tajam untuk mengorek daging hidup sehingga akhirnya membunuh perumah jika tidak dirawat.
Perosak ini mendapat nama berdasarkan cara larva memakan daging menyerupai skru yang diputar masuk ke dalam kayu.
Screwworm amat merosakkan lembu dan hidupan liar, tetapi jarang menjangkiti manusia. Namun infestasi (keadaan tubuh manusia, haiwan, atau kawasan tertentu dipenuhi atau dijangkiti parasit luaran yang hidup pada atau dalam tubuh perumah) boleh membawa maut.
Rawatan sangat sukar kerana memerlukan pembuangan ratusan larva dan pembersihan luka secara menyeluruh. Namun, jika dikesan awal, kebanyakan infestasi boleh diselamatkan.
E-mel daripada eksekutif Beef Alliance pada 20 Ogos menyatakan kes manusia positif screwworm di Maryland telah disahkan pada hari sama.
E-mel susulan dari kumpulan itu menyatakan bahawa tiada maklumat lanjut boleh didedahkan kerana undang-undang privasi pesakit. Pesakit telah menerima rawatan dan langkah pencegahan telah diambil di negeri berkenaan, kata e-mel itu.
Seorang pakar ekonomi ternakan di Universiti Texas A&M diminta menyediakan laporan untuk Rollins mengenai kesan terhadap industri akibat penutupan sempadan bagi import lembu dari Mexico, langkah yang berkuat kuasa sejak November tahun lalu bagi menghalang kemasukan screwworm ke AS.
Menurut e-mel itu, CDC wajib melaporkan kes tersebut kepada pegawai kesihatan negeri Maryland dan doktor haiwan negeri Maryland, selain memaklumkan pihak berkepentingan lain dalam sektor pertanian.
“Kami berharap, kerana kesedaran hanya terhad kepada wakil industri dan doktor haiwan negeri, kebarangkalian kes ini bocor adalah rendah, sekali gus meminimumkan impak pasaran,” tulis eksekutif industri daging lembu itu.
Kesan terhadap industri daging lembu dan pasaran hadapan
Kes screwworm yang disahkan di AS berkemungkinan menggoncang pasaran niaga hadapan daging dan lembu, yang kini merekodkan harga tertinggi akibat bekalan ketat, dengan bilangan lembu AS pada tahap terendah dalam tujuh dekad.
Kes ini serta kurang ketelusan juga boleh menjadi cabaran politik buat Rollins, yang berulang kali berjanji memastikan screwworm tidak masuk ke negara itu. Jabatan Pertanian AS (USDA) telah memasang perangkap dan menghantar pegawai berkuda di sempadan, namun dikritik sesetengah penternak kerana tidak bertindak pantas mempertingkatkan pengeluaran lalat steril.
Rollins pada Jun lalu mengumumkan rancangan membina kemudahan lalat steril di Pangkalan Tentera Udara Moore, Edinburg, Texas, berhampiran lokasi kemudahan lama yang beroperasi semasa wabak besar 50 tahun lalu.
Kemudahan itu dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk beroperasi.
Mexico juga mengambil langkah mengehadkan penularan perosak itu, yang boleh membunuh ternakan dalam beberapa minggu jika tidak dirawat. Kerajaan Mexico pada Julai lalu berkata, ia mula membina kemudahan pengeluaran lalat steril bernilai AS$51 juta di selatan negara itu.
Pada masa ini, hanya terdapat sebuah kilang beroperasi di Panama City yang mampu menghasilkan maksimum 100 juta lalat screwworm steril setiap minggu. USDA menganggarkan 500 juta lalat perlu dilepaskan setiap minggu untuk menolak perosak itu kembali ke Darien Gap, hutan hujan antara Panama dan Colombia.
Screwworm yang bergerak ke utara melalui Mexico dari Amerika Tengah sejak 2023, menjadi endemik di Cuba, Haiti, Republik Dominika dan beberapa negara Amerika Selatan, menurut USDA.
Mexico melaporkan kes baharu kira-kira 370 batu dari sempadan AS, di Ixhuatlan de Madero, Veracruz pada Julai lalu. USDA segera mengarahkan penutupan perdagangan ternakan melalui pintu masuk selatan selepas sebelumnya menghentikan import pada November dan Mei.
AS lazimnya mengimport lebih sejuta ekor lembu dari Mexico setiap tahun untuk digemukkan di ladang ternakan dan diproses menjadi daging lembu.
Screwworm pernah dihapuskan dari AS pada 1960-an apabila penyelidik melepaskan sejumlah besar lalat jantan steril yang mengawan dengan lalat betina liar, menghasilkan telur tidak subur.
USDA menganggarkan wabak screwworm boleh menelan kos sekitar AS$1.8 bilion kepada ekonomi Texas, negeri pengeluar lembu terbesar AS, termasuk kematian ternakan, kos buruh dan perbelanjaan ubat-ubatan. – REUTERS
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi