‘Jika pasang bendera terbalik dianggap salah, kenapa yang menegur pula didakwa?’

BANGI, 2 RABIULAWAL – Tindakan mendakwa individu yang menegur perbuatan mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik menimbulkan persoalan besar mengenai maruah negara serta hala tuju penguatkuasaan undang-undang.

Presiden Nasionalis, Haji Aminuddin Yahaya berkata, keadaan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa perbuatan menghina Jalur Gemilang bukan lagi dianggap kesalahan besar, sebaliknya pihak yang menegur pula dikenakan tindakan.

“Persoalannya, adakah dengan dakwaan ini bermakna menaikkan bendera secara terbalik bukan kesalahan besar?

“Kalau ia kesalahan besar, kenapa pula yang menegur didakwa? Sampai tahap mana teguran boleh dibuat supaya ia tidak dianggap ‘keras’ atau ‘menimbulkan ketakutan?,” soalnya.

Menurut Haji Aminuddin, isu sebegini bukan kali pertama berlaku, malah berpunca daripada sikap kerajaan yang terlalu berlembut sehingga memberi ruang kepada pihak tertentu untuk berani berulang kali menghina bendera negara.

“Mana pemimpin negara dalam hal ini? Tidakkah mereka perlu menegur perbuatan sebegini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau meluahkan simpati terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang berdepan dakwaan tanpa sokongan padu daripada rakan separti.

“Pemimpin parti Dr Akmal nampak macam ambil jalan selamat sahaja. Kesian juga lihat Ketua Pemuda didakwa. Kalau sesama parti pun tidak ada sifat bantu-membantu, macam mana nak bawa negara maju ke hadapan?,” katanya.

Jumaat lalu, Dr Akmal didakwa atas pertuduhan menimbulkan kegentaran terhadap keselamatan awam menerusi akaun media sosial beliau pada 11 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, Dr Akmal didakwa telah memuat naik kenyataan di laman Facebook ‘Akmal Saleh’ yang mungkin menimbulkan kegentaran awam serta boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Pada 14 Ogos lalu, beliau mengetuai perarakan 500 penyokong UMNO, Bersatu dan Pas di Kepala Batas susulan insiden bendera negara dipamerkan secara terbalik di sebuah kedai perkakasan di situ.

Tindakan tersebut mencetuskan kecaman pelbagai pihak khususnya pemimpin parti politik daripada DAP

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan setakat ini sebanyak enam kes bendera terbalik dilaporkan, masing-masing dua di Johor dan Pulau Pinang serta satu di Selangor dan Negeri Sembilan.

Antara yang mendapat perhatian ialah insiden di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Port Dickson pada 1 Ogos lalu apabila Jalur Gemilang dipasang terbalik. Bagaimanapun, pihak sekolah segera menurunkannya dan memohon maaf secara terbuka.

Di Pulau Pinang, sebuah premis perniagaan di Kepala Batas turut tular selepas orang awam merakam Jalur Gemilang yang dipasang terbalik. Pemilik premis menjelaskan ia berlaku ketika beliau sedang mengukur tiang besi dan tidak menyedari kedudukan bendera, sebelum segera membetulkannya serta membuat laporan polis.

Manakala di Johor, sebuah klinik pergigian di Pontian turut dikenakan tindakan selepas polis mengesahkan insiden berpunca daripada kecuaian pekerja. Majlis Perbandaran Pontian kemudiannya mengarahkan premis itu ditutup selama 30 hari kerana melanggar peraturan pengibaran bendera.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kes baru parasit pemakan daging screwworm dikesan di AS

Next Post

Perhimpunan aman bantah RUU URA di Parlimen, esok

Related Posts