Tiada kompromi kes buli, hatta anak orang kenamaan – Asyraf Wajdi

BANGI, 25 SAFAR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi amaran keras bahawa menyembunyikan kes buli di institusi pendidikan adalah satu kesalahan jenayah dan tidak akan dikompromi sama sekali.

Beliau menegaskan, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pengurusan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang cuba menutup kes tersebut atas alasan menjaga nama baik atau reputasi.

“Adalah satu kesalahan jenayah menyembunyikan kes buli. Jika ada pihak pengurusan mana-mana Institusi Pendidikan MARA yang berbuat demikian kononnya nak jaga nama baik dan reputasi, tindakan tegas dan keras pasti akan diambil!,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Asyraf berkata, ketika di awal pelantikan sebagai Pengerusi MARA, beliau menerima banyak aduan daripada ibu bapa dan pelajar bahawa ada kecenderungan pihak pengurusan IPMA untuk tidak mendedahkan kes-kes buli kerana khuatir imej serta pencapaian kecemerlangan institusi terjejas.

“Saya telah memberikan isyarat dan pengarahan yang jelas bahawa jika saya sendiri perolehi maklumat ini, pasti akan saya ambil tindakan tegas kepada pihak pengurusan IPMA termasuk MRSM.

“Bahkan saya sudah menegaskan berkali-kali kepada pelajar-pelajar bahawa saya tiada kompromi bab buli, walaupun nampak saya banyak bertimbang rasa dalam hal-hal lain termasuk mengambil berat hal kebajikan guru, pelajar dan staf,” tegasnya.

Beliau turut mengulangi prinsipnya, “You Touch You Go”, yang akan diguna pakai tanpa mengira siapa pun pelaku, termasuk anak orang berpengaruh sekalipun.

“Prinsip #YouTouchYouGo tidak kira sesiapa. Jika terlibat dengan buli usah merayu dengan saya apabila tindakan diambil. 

“Hatta anak orang berpengaruh mahupun ternama sekalipun, mereka tahu pendirian tegas saya ini,” katanya.

Menurut beliau, budaya buli yang sudah berakar di sesetengah tempat hanya boleh dihentikan sekiranya tindakan tegas diambil dan disokong sepenuhnya oleh semua pihak.

“Usaha untuk memutuskan rantaian buli yang semacam dijadikan tradisi di sesetengah tempat hanya boleh dilakukan dengan berkesan jika tindakan tegas diambil dan mendapat dukungan serius semua pihak,” katanya. 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kes buli Zara: Peguam gesa pendakwaan ikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan

Next Post

‘Sekolah, institusi pendidikan sepatutnya menjadi tempat selamat’ – Raja Permaisuri Agong

Related Posts