Oleh Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Mengibarkan bendera Palestin kerana mengutuk penindasan tentera Zionis dan memperjuangkan isu kemanusiaan dengan bersolidariti bersama rakyat Palestin tidak sama dengan tindakan segelintir pihak yang mengibarkan bendera asing tanpa sebab.
Justeru, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, pengibaran bendera China di Teluk Intan, Perak, baru-baru ini mencetuskan persoalan apabila tiada alasan kukuh untuk berbuat demikian.
“Kepada yang kurang faham dengan sejarah atau geopolitik, biar saya terangkan secara ringkas kenapa ada pihak yang kibarkan bendera Palestin.
“Pertama ialah kerana penindasan tentera Zionis dan solidariti masyarakat dunia ke atas serangan kejam hingga membunuh ramai kanak-kanak serta orang awam yang tidak berdosa di bumi Palestin.
“Kedua, terbukti jenayah perang ini turut mendapat reaksi dan tentangan banyak negara melalui resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini adalah isu antarabangsa,” katanya dalam hantara di Facebook pada Sabtu lalu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas persoalan yang dikemukakan segelintir pihak mengapa bendera Palestin dikibarkan di Malaysia tetapi pengibaran bendera China tidak dibenarkan.
Terdahulu, tular beberapa klip video di media sosial apabila sekumpulan individu mengibarkan bendera China ketika menyertai perarakan di Teluk Intan, Perak pada Jumaat lalu.
Tindakan itu kemudian mengundang kecaman ramai yang mempersoalkan tindakan tersebut yang mana pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjur.
Dalam pada itu, Choo Seong menjelaskan, pengibaran bendera asing tidak dilhalang sepenuhnya jika terdapat alasan kukuh, misalnya penganjuran kejohanan antarabangsa yang mana pengibaran bendera negara yang menyertainya akan dibenarkan.
“Begitu juga dengan peristiwa atau hari-hari penting yang diraikan seperti ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
“Sudah tentu kita dapat melihat bendera kedua-dua negara dikibarkan secara bersama sebagai simbolik hubungan akrab kedua-dua negara,” ujarnya.
Mengulas mengenai insiden di Teluk Intan baru-baru ini, Choo Seong berkata persoalan timbul apabila ketua Polis Perak menyatakan bahawa perhimpunan tersebut dibuat secara haram dan tanpa permit.
Jelasnya, tindakan itu sudah menjadi satu kesalahan ditambah dengan himpunan warga asing di bumi Malaysia dengan mengibarkan bendera asing.
“Cuba sebut dan nyatakan, kalau ada mana-mana negara lain yang akan membenarkan insiden seperti ini berlaku di negara mereka?
“Sekiranya betul mereka yang kibarkan bendera asing itu adalah di kalangan warga asing sekali pun, kenapa tidak kelihatan bendera Malaysia yang turut dikibarkan bersama pihak penganjur yang saya yakin adalah dalam di kalangan orang Malaysia,” ujarnya.
Tegas beliau, pengibaran bendera China di Teluk Intan itu tidak kaitan dengan isu politik atau perkauman.
Sebaliknya, Choo Seong berkata, ia menyentuh isu kedaulatan dan sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih tidak sedar akan tanggungjawab untuk menjunjung martabat dan mempertahankan negara ini.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI