Selagi tiada penguatkuasaan tegas, kes bendera terbalik akan berulang

SETIAP kali Jalur Gemilang dikibarkan terbalik, rakyat akan bertanya: adakah ia sekadar kecuaian atau berlaku dengan sengaja? Alasan yang diberikan sering kali tidak logik dan diakhiri dengan permohonan maaf, seolah-olah itu sudah memadai. 

Terbaru menyaksikan insiden tular di Kepala Batas, Pulau Pinang, apabila Jalur Gemilang dipasang terbalik di luar sebuah kedai perkakasan. Polis menerima 16 laporan awal berhubung kejadian ini sebelum angka tersebut meningkat kepada 38 laporan di seluruh negara. 

Pemilik premis berusia 59 tahun berkenaan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau memaklumkan kesilapan itu tidak disengajakan kerana sedang mengukur batang besi sebelum bendera dinaikkan. Pemilik kedai itu dibebaskan dengan ikat jamin sementara kertas siasatan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut. Walaupun penjelasan dan permohonan maaf telah dibuat, insiden ini tetap mencetuskan perdebatan hangat mengenai tahap kesedaran dan rasa hormat terhadap simbol negara.

Sebelum itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua, Port Dickson, turut menjadi perhatian apabila Jalur Gemilang dipasang terbalik semasa persiapan sambutan Hari Kebangsaan. Pihak sekolah memohon maaf secara terbuka dan membetulkan keadaan. Namun, setakat ini tiada laporan rasmi mengenai tindakan tatatertib atau penguatkuasaan dikenakan. 

Sebelum itu, pada Ogos 2024, berdasarkan laporan media tempatan, Persatuan Kwong Sai di Kuala Kangsar, Perak, mengibarkan bendera secara terbalik. Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, dilaporkan menegaskan bahawa tindakan telah diambil terhadap persatuan tersebut di bawah undang-undang berkaitan. Walaupun permohonan maaf dibuat, kes ini turut menimbulkan perbincangan luas mengenai tahap kesedaran dan penghormatan terhadap simbol negara.

Ini baru segelintir, ada lagi kes seumpama ini, ia sekali gus membawa kepada satu kesimpulan penting: tanpa penguatkuasaan yang tegas, konsisten, dan berkesan, kes bendera terbalik akan terus berulang. Ia bukan sahaja mencalar imej institusi yang terlibat, malah menyentuh sensitiviti patriotik rakyat. 

Negara jiran memberi contoh jelas bahawa sebarang kesalahan melibatkan simbol negara dianggap serius, dengan hukuman atau pendidikan tegas dilaksanakan bagi mencegah pengulangan.

Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan, perpaduan, dan kebanggaan negara. Setiap kali ia dipasang terbalik, ia mencerminkan sikap cuai dan kurangnya kesedaran terhadap makna yang dibawanya. Menghormati bendera adalah tanggungjawab semua individu dan institusi.

Penguatkuasaan tegas bukan sekadar menghukum pelaku, tetapi mendidik seluruh masyarakat bahawa maruah negara tidak boleh dipandang ringan. Selagi tiada tindakan konsisten diambil, Jalur Gemilang akan terus menjadi mangsa kecuaian dan setiap permohonan maaf hanya akan menjadi janji kosong yang diulang lagi.

Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Smotrich lancar pelan penempatan untuk ‘kebumikan’ idea negara Palestin

Next Post

‘Nak putus hubungan politik? Bring it on’, kata Akmal kepada DAP

Related Posts