BANGI, 27 ZULHIJJAH — Pepatah bahasa Inggeris ‘my enemies enemy is my friend’ yang bermaksud ‘musuh kepada musuhku ialah kawanku’ boleh dilihat sebagai ungkapan yang paling sesuai dalam menggambarkan situasi peperangan antara Iran dan negara haram Israel.
Pada minggu lalu, Iran telah melancarkan serangan terhadap Israel sebagai tindak balas ekoran kebiadaban rejim Zionis yang telah membunuh beberapa pemimpin Iran sejak tahun lepas.
Antaranya termasuk serangan ke atas sebuah bangunan tambahan konsulat Iran di ibu negara Syria pada April 2024 mengakibatkan sekurang-kurangnya lapan mangsa terbunuh termasuk komander kanan Pasukan Quds bawah Kor Pengawal Revoulusi Islam, Brigedier Jeneral Reza Zahedi.
Melihat kepada reaksi serangan Iran terhadap Israel pada minggu lepas, jelas sekali masyarakat global menyokong tindakan itu dan mentafsirkan ia sebagai satu ‘pengajaran’ kepada Israel yang terus melakukan pencerobohan dan kekejaman tanpa henti, bukan sahaja di Palestin tetapi juga negara-negara jiran seperti Yaman, Lubnan dan beberapa siri serangan di Iran.
Namun begitu, tercetus juga persoalan dalam kalangan umat Islam di Malaysia sama ada kita sewajarnya menyokong Iran yang berlatarbelakangkan Syiah – kumpulan yang membawa fahaman akidah berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) atau sunni.
Malah, Syiah juga dilihat sebagai satu kuasa yang cuba meluaskan penjajahannya bukan sahaja dari aspek penguasaan geopolitik tetapi juga fahaman mereka di seluruh dunia.
Dalam kata mudah, Syiah ditafsirkan sebagai satu fahaman yang menyelewang dan tidak sehaluan dengan pegangan ASWJ.
Oleh itu, konteks debat yang muncul pada masa ini ialah siapakah yang wajar umat Islam di Malaysia sokong dalam peperangan yang berlaku antara Iran dan Israel.
Terdahulu, umum ketahui bahawa kekejaman Israel di atas tanah Palestin bukanlah satu isu baharu meskipun naratif barat sering memetik 7 Oktober 2023 yang merujuk kepada serangan Taufan Al-Aqsa oleh Briged Al-Qassam.
Tanpa melihat kepada kekejaman yang Israel lakukan terhadap Palestin pada masa silam, negara haram itu disahkan sudah membunuh lebih 60,000 rakyat Palestin manakala 100,000 orang lagi dilaporkan cedera.
Lebih menyedihkan, kebanyakan daripada kematian yang direkodkan ini adalah orang awam yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak dan wanita.
Bukan itu sahaja, pada Mei lalu, laporan media antarabangsa mengesahkan bahawa Israel telah menjatuhkan lebih 100,000 tan bom di Gaza sejak genosid itu berlaku 19 bulan lalu.
Menurut laporan media antarabangsa, jumlah bom yang dijatuhkan itu adalah lebih dasyat berbanding Perang Dunia Kedua (WWII), malah bersamaan dengan enam kali ganda pengeboman di Hiroshima.
Justeru itu, penulis pernah mengajukan persoalan ini kepada Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Muhammad Fauzi Asmuni dan jawapan yang diberikan sangat mudah untuk difahami.
Menurut beliau, keutamaan umat Islam di seluruh dunia ialah menghentikan genosid yang berlaku di bumi Palestin dan berusaha memperjuangkan pembebasan mutlak Palestin.
Justeru, apa-apa usaha untuk menghentikan tindakan kejam oleh Israel wajar disokong.
“Andai kata Rusia atau mana-mana pun negara bukan Islam menyerang Israel dan tindakan mereka berjaya menghentikan genosid tersebut, kita patut sokong walaupun mereka bukan Islam,” kata Muhammad Fauzi sebagai contoh.
Hujah ini sahaja cukup untuk kita membuat keputusan bahawa Iran – yang mempunyai pegangan fahaman berbeza daripada ASWJ – dilihat sebagai pihak yang wajar disokong, walaupun kita tahu bahawa serangan Iran tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan usaha membebaskan Palestin.
Selain itu, hujah yang turut diketengahkan ialah Iran setakat ini tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai seperti Israel di Gaza dan negara-negara jirannya.
Justeru, ini menjadikan Iran sebagai pilihan yang kurang memudaratkan.
Malah, perlu ditegaskan di sini bahawa menyokong tindakan Iran bukan bermaksud umat Islam di Malaysia menyokong Syiah.
Sebaliknya, serangan-serangan Iran dilihat mampu meringankan tekanan terhadap rakyat Palestin agar perhatian Israel lebih tertumpu kepada perang Israel-Iran berbanding genosid yang berlaku di bumi Gaza.
Ini sekali gus memberi rakyat Palestin ‘ruang bernafas’ daripada terus dibunuh pada skala besar, malah berpotensi memberi peluang kepada bantuan-bantuan kemanusiaan untuk masuk ke Gaza.
Sebab itu, penulis simpulkan bahawa ‘musuh kepada musuhku adalah kawanku’.
Oleh: Azzman Jamal, wartawan TV Pertiwi
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi