RMK-13: Masa Depan Kerjaya Berasaskan Analisis Data

BANGI, 18 SAFAR – Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), yang merangkumi tempoh 2026 hingga 2030,bukan sekadar dokumen dasar negara. Ia merupakan peta hala tuju strategik bagi merealisasikan visi jangka panjang Malaysia MADANI menjelang 2050. 

Dalam era moden, data menjadi ‘mata wang’ baharu yang memacu tadbir urus berkesan, meningkatkan daya saing industri, dan menggalakkan kemajuan sosial.

Analisis data berada di teras RMK-13 kerana ia membolehkan dasar dibentuk berasaskan bukti, bukan sekadar andaian. Data yang tepat memberi peluang kepada kerajaan menyalurkan sumber secara optimum, mengurangkan ketidakcekapan, dan memastikan program pembangunan menghasilkan impak yang boleh diukur. 

Pendekatan ini diyakini mampu meningkatkan produktiviti merentasi sektor pembuatan, pertanian, perkhidmatan, dan ekonomi digital, di samping merangsang inovasi melalui penyelidikan serta pembangunan produk dan perkhidmatan baharu.

Peluang Kerjaya untuk Generasi Muda

RMK-13 dijangka membuka lembaran baharu kepada generasi muda Malaysia, khususnya pelajar bidang ekonomi yang dekat dengan isu semasa dan terbiasa bekerja dengan data. Graduan yang menguasai kemahiran analisis data, ekonometrik, dan perisian statistik bukan sahaja mampu menganalisis data dengan tepat, malah berupaya mentafsir hasilnya secara kritis. 

Keupayaan ini menjadikan mereka aset penting dalam proses membuat keputusan berasaskan bukti.

Permintaan terhadap graduan ekonomi yang mahir dalam analisis data dijangka meningkat, seiring dengan keperluan industri untuk mendapatkan penyelesaian masalah ekonomi yang lebih tepat. Malah, bidang lain seperti teknologi maklumat, sains sosial, dan pendidikan juga akan meraih manfaat daripada pendekatan ini.

Di peringkat pendidikan tinggi, universiti perlu memanfaatkan peluang ini dengan membudayakan kemahiran pengurusan data dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Gabungan pengetahuan teori dan kompetensi praktikal yang seiring dengan keperluan industri akan memastikan graduan lebih bersedia bersaing dalam pasaran kerja global.

Cabaran yang Perlu Diatasi

Walaupun peluang terbentang luas, manfaat RMK-13 hanya akan direalisasikan sepenuhnya jika beberapa cabaran dapat ditangani. Antaranya ialah ketidaksepadanan antara kemahiran graduan dan keperluan industri, ketidaksamarataan akses kepada latihan berkualiti, serta risiko penghijrahan tenaga mahir jika peluang di dalam negara kurang kompetitif.

Penyelarasan antara keutamaan negara dan kesiapsiagaan tenaga kerja adalah kunci. Kerajaan dan sektor swasta perlu berganding bahu dalam menyediakan ekosistem yang menyokong pembangunan bakat tempatan, termasuk melalui latihan berterusan, kerjasama industri, dan inovasi pendidikan.

Kesimpulan

RMK-13 bukan sekadar pelan pembangunan negara; ia adalah peta peluang kerjaya berasaskan data untuk generasi muda Malaysia. Dalam era di mana sektor awam dan swasta sama-sama bergantung kepada strategi berasaskan data, penguasaan kemahiran analisis akan meletakkan anak muda pada kedudukan strategik dalam sektor bernilai tinggi seperti kewangan, keselamatan siber, dan pengurusan data besar.

Data yang baik membawa kepada keputusan yang tepat; keputusan yang tepat melahirkan tenaga kerja mahir; dan tenaga kerja mahir memperkukuh ekonomi sambil menjamin kemakmuran bersama. Dengan merebut peluang yang ditawarkan RMK-13, generasi muda

Malaysia boleh melangkah ke masa depan dengan lebih yakin, bersedia, dan berdaya saing di pentas global.

Oleh: Profesor Madya Dr. Norimah Rambeli, Pensyarah, Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

*Penulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dua peninju Jepun maut akibat kecederaan otak

Next Post

Kerajaan belanja RM8.4 juta untuk lencana Jalur Gemilang

Related Posts