TOKYO, 18 SAFAR – Dua peninju Jepun berusia 20-an maut akibat kecederaan otak yang dialami dalam perlawanan berasingan semasa acara yang sama di ibu negara Jepun.
Menurut Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) dan media tempatan, Shigetoshi Kotari, 28, tidak sedarkan diri sejurus selepas mencatat keputusan seri 12 pusingan menentang juara kelas ringan super Persekutuan Tinju Oriental dan Pasifik, Yamato Hata pada 2 Ogos lalu.
Beliau menjalani pembedahan otak kecemasan, tetapi meninggal dunia pada hari yang sama.
Sementara itu, Hiromasa Urakawa yang juga berusia 28 tahun, meninggal dunia pada Sabtu lalu akibat kecederaan yang dialaminya selepas tumbang KO kepada Yoji Saito di Dewan Korakuen pada 2 Ogos.
Dia turut menjalani pembedahan bagi merawat hematoma subdural, iaitu pendarahan dalam tengkorak, tetapi tidak dapat diselamatkan.
“Kami merakamkan ucapan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga, rakan-rakan dan komuniti tinju Jepun pada waktu yang amat sukar ini,” kata WBO dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu.
Kematian ini merupakan insiden tinju ketiga yang meragut nyawa tahun ini.
Pada Februari lalu, peninju Ireland kelas ringan super, John Cooney, 28, meninggal dunia akibat kecederaan otak selepas tewas dalam pertahanan pertama gelaran Celtic miliknya. – ANADOLU
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi