BANGI, 18 SAFAR – Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mencadangkan kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan kuasa budi bicara speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) menentukan kedudukan wakil rakyat yang mengalihkan sokongan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, turut meminta kerajaan mengembalikan hak tafsiran undang-undang berkaitan penentuan status kekosongan kerusi Parlimen dan DUN kepada mahkamah.
Takiyuddin membangkitkan perkara itu susulan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang memutuskan enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih di blok pembangkang.
Enam ahli Parlimen berkenaan adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
“Untuk keluar dari segala kecelaruan dan lacuna (kelemahan dalam undang-undang) dalam tafsiran Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, saya mencadangkan kerajaan hari ini atau kerajaan akan datang jika berlaku perubahan segera meminda peruntukan itu.
“Pindaan ini bertujuan mengehadkan kuasa budi bicara Speaker, seterusnya mengembalikan kuasa tafsiran undang-undang berkaitan penentuan status kekosongan kerusi Parlimen dan DUN kepada mahkamah.
“Seperti mahkamah diberi kuasa memutuskan isu melibatkan proses dan keputusan pilihan raya melalui petisyen di Mahkamah Pilihan Raya,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin berpendirian pindaan tersebut akan dapat menyelesaikan kekeliruan dan ketidaktentuan dalam tafsiran undang-undang berkaitan status dan kedudukan wakil rakyat yang beralih sokongan.
Menurutnya, kegagalan Speaker mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri menggunakan tafsiran undang-undang adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, terutama berkaitan anti lompat parti.
“Ia juga bercanggah dengan hak parti-parti politik ke atas status keahlian anggotanya sendiri, selain daripada hak demokratik pengundi ke atas tindak-tanduk dan orientasi politik calon yang mereka pilih.
“Hakikatnya, kita kena akui Speaker Dewan Rakyat merupakan lantikan politik dan ahli parti kepada parti kerajaan. Sudah tentu akan ada kecenderungan mencari jalan dan alasan untuk menyatakan keputusan dibuat itu benar, tetapi ia mengukuhkan lagi tanggapan bias atau berat sebelah dalam keputusan budi bicara,” katanya.
Pada 6 Ogos lalu, Johari memaklumkan bahawa enam Ahli Parlimen yang dipecat oleh Bersatu kerana menyokong Perdana Menteri masih mewakili pembangkang di Dewan Rakyat.
Katanya, keputusan itu dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi