Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Selasa – Kerajaan memberi jaminan bahawa dasar luar negara Malaysia tidak akan berubah selepas menyertai BRICS, malah akan membuka peluang baharu kepada negara.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat dan mempunyai kebebasan memilih apa jua pertimbangan, keputusan dan penyertaan organisasinya yang disertainya.
Namun begitu, beliau menegaskan pertimbangan dan keputusan yang dibuat semestinya berdasarkan penilaian yang begitu terperinci dan mampu memberi manfaat kepada negara.
Ujar beliau, dasar luar Malaysia yang bersifat bebas adalah berprinsip dan berdiplomatik, membuatkan negara sentiasa komited dalam menjalankan usaha mengukuhkan hubungan kerjasama bersama negara-negara asing yang terlibat.
“Mampu dapat memberi kepentingan ekonomi, pelaburan dan juga hubungan dua hala dengan mana-mana negara sekalipun,
“Malaysia juga mendukung keluhuran dan undang-undang antarabangsa termasuk piagam yang ada di dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau yang bertanya sama ada dasar luar Malaysia akan berubah apabila menyertai BRICS serta sejauh mana jaminan negara lain tidak akan mencampuri urusan negara seperti politik, ekonomi dan kedaulatan negara.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis menjelaskan, keterlibatan Malaysia dalam mana-mana organisasi adalah bersifat aktif dan mencetuskan impak yang baik buat negara.
Beliau berkata, Malaysia berjaya memainkan peranan yang hebat di peringkat antarabangsa misalnya menjadi Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 kelak.
“Negara menyokong multilateralisme bagi menangani pelbagai cabaran geopolitik dan juga ekonomi yang semakin hebat pada masa ini,
“Pastinya, dasar luar negara kita tidak berubah, bahkan kita juga akan membuka peluang-peluang yang baru, apabila kita sertai BRICS,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI