Sumud Nusantara: Misi bantuan kemanusiaan terbesar ke Gaza

BANGI, 18 SAFAR – Usaha untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza bukanlah satu inisiatif baharu dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia mahu pun di luar negara.

Sejak sekian lama, pelbagai jenis bantuan sama ada dalam bentuk barangan keperluan serta wang tunai telah disalurkan kepada penduduk Gaza sebagai tanda solidariti dari Malaysia.

Namun sejak Oktober 2023 apabila tercetusnya Taufan Al-Aqsa, Israel telah bertindak kejam dengan menggunakan ‘kebuluran’ sebagai senjata untuk menghukum rakyat Palestin dengan menyekat segala bantuan dari dunia luar ke Gaza.

Situasi ini semakin teruk apabila rejim Zionis terus melaksanakan pengeboman tanpa henti dan memusnahkan hampir seluruh infrastruktur dan tempat perlindungan seperti rumah, kem pelarian, sekolah serta hospital.

Ini menyebabkan penduduk Gaza terputus dari segala bekalan makanan, minuman, perubatan dan barangan keperluan.

Justeru, dalam usaha mematahkan sekatan Israel untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza, gabungan pertubuhan masyarkaat sivil dan gerakan anak muda dari pelbagai negara telah melancarkan Konvoi Sumud Nusantara yang bakal dilaksanakan pada hujung bulan ini.  

8 negara terlibat dalam Konvoi Sumud Nusantara

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri berkata, Sumud Nusantara merupakan konvoi laut secara besar-besaran melibatkan lapan negara terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Thailand, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Filipina dan Maldives.

TV Pertiwi difahamkan, Sumud Nusantara adalah sebahagian daripada gerakan Global Sumud Flotila – misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza – membabitkan lebih 40 negara.

Sumud Nusantara ialah gerakan di peringkat rantau Asia Tenggara.

“Sebelum ini, penghantaran bantuan ke Gaza menggunakan kapal biasanya dibuat pada skala kecil, tetapi setakat minggu lepas, ada lebih 70 kapal yang akan dihantar oleh 44 negara.

“Sumud Nusantara ialah gabungan besar melibatkan kerjasama global yang mana ia pangkalan globalnya ialah di Eropah. Pergerakan difahamkan akan berlangsung pada 31 Ogos yang mana konvoi ini akan ke Spain sebelum bertolak ke Tunisia pada 4 September depan,” jelasnya.

Beliau berkata, CSM adalah antara NGO yang terlibat bersama dengan Cinta Gaza Malaysia dan MAPIM dalam menjayakan misi ini dari pihak Malaysia.

“Pelbagai jenis bantuan akan dihantarkan, tetapi fokus utama ialah mematahkan kepungan di Gaza. (Ia) adalah misi bantuan paling besar.

“Justeri, mesej yang cuba disampaikan ialah kita benar-benar mahu hantar bantuan kepada mereka. Kalau kerajaan dan pemimpin dunia berdiam diri, kita sebagai orang awam akan bertindak,” tambah beliau.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pinda Perlembagaan, hadkan kuasa Speaker Parlimen, DUN – Takiyuddin

Next Post

KPM pindahkan sementara Pengetua, warden SMKA Tun Datu Mustapha hingga siasatan selesai

Related Posts