BANGI, 18 SAFAR – Isu kematian Zara Qairina Mahathir terus menjadi perhatian hangat di Dewan Rakyat apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang menuntut penjelasan dari pihak polis berhubung insiden melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah.
Dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempertikaikan kegagalan pihak polis menjalankan bedah siasat terhadap jenazah Allahyarham pada peringkat awal selepas kematian pelajar tersebut.
Beliau menegaskan bahawa proses bedah siasat sepatutnya dilakukan secara automatik tanpa perlu sebarang permintaan daripada mana-mana pihak.
“Itu adalah prosedur biasa dalam kes kematian mengejut. Tapi dalam hal ini, kita nak tahu kenapa pihak polis tidak menjalankan bedah siasat ini,” ujarnya seperti dilapor Berita Harian.
Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mencelah dengan bertanya kepada Takiyuddin sama ada beliau bersetuju untuk menggesa Ketua Polis Negara memulakan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kelemahan dalam siasatan terdahulu.
Beliau menjelaskan, “Setujukah Yang Berhormat Kota Bharu supaya siasatan ke atas siasatan sebelum ini hendaklah merangkumi perkara-perkara seperti mengenal pasti pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam siasatan yang tidak dilaksanakan dengan sempurna itu.
“Mengenal pasti individu yang mengeluarkan arahan yang membawa kepada kelemahan siasatan dan menentukan sama ada terdapat campur tangan daripada mana-mana pihak luar yang mengakibatkan kelemahan siasatan berkenaan, serta menetapkan tindakan tatatertib atau hukuman terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran prosedur atau salah laku,” katanya.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) turut menyuarakan kebimbangan bahawa dalam kes ini, terdapat pengabaian jelas terhadap proses dan prosedur.
Katanya, “Ini yang mengundang persepsi dan tanggapan rakyat, seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan. Sebab itu, teguran daripada masyarakat perlu diambil kira.”
Isu ini kemudian dimasukkan ke dalam perbahasan rasmi atas permintaan Takiyuddin sendiri.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menghantar pasukan siasatan khas ke Sabah bagi mengambil alih kes kematian Zara Qairina.
Jenazah Allahyarham menjalani bedah siasat selama lapan jam di Hospital Queen Elizabeth (HQE) kelmarin selepas jasadnya digali semula dari kubur pada petang Sabtu dan dikebumikan semula tengah malam kelmarin di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang.
Sebelum ini, Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian di hospital.