BANGI, 12 SAFAR – Polis mengesahkan bahawa seorang ahli perniagaan yang menjadi saksi penting kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang, membabitkan Lim Guan Eng, cedera diserang 10 individu di kediamannya di Petaling Jaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar, memberitahu bahawa pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 7.10 pagi.
“Kita masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.
Media tempatan melaporkan ahli perniagaan berkenaan cedera di muka dan tangan selepas penyerang memasuki kediamannya.
Penyerang dikatakan terlebih dulu mengikat dua pengawal keselamatan sebelum memasuki rumah mangsa.
Mereka juga dikatakan memberi amaran supaya ahli perniagaan duduk di rumah dan tidak cuba menjadi wira.
Ahli perniagaan berkenaan merupakan antara saksi penting pendakwaan pada perbicaraan terhadap Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang di Mahkamah Sesyen di sini.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan kes tersebut ketika ditemui pihak media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur mengesahkan insiden itu.
Beliau memberitahu akan membawa perkara tersebut di hadapan hakim bersidang pada tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada 19 Ogos ini.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi