PBB bimbang kemungkinan operasi Israel diperluas di Gaza

NEW YORK, 12 SAFAR –  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan laporan mengenai kemungkinan keputusan Israel untuk memperluaskan operasi ketenteraan ke seluruh Semenanjung Gaza sangat membimbangkan.

Penolong Setiausaha Agung PBB, Miroslav Jenca, memberitahu mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Gaza bahawa langkah itu berisiko membawa kesan yang amat buruk dan boleh membahayakan nyawa tebusan yang masih berada di Gaza.

“Undang-undang antarabangsa jelas dalam hal ini; Gaza adalah sebahagian dan mesti kekal sebagai sebahagian daripada masa depan negara Palestin,” katanya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam bertemu pegawai keselamatan kanan untuk memuktamadkan strategi baharu perang di Gaza yang hampir mencecah dua tahun.

Media melaporkan beliau cenderung terhadap pengambilalihan ketenteraan sepenuhnya ke atas wilayah Palestin itu.

Timbalan wakil PBB China, Geng Shuang, melahirkan kebimbangan terhadap rancangan tersebut dan berkata: “Kami menggesa Israel segera menghentikan tindakan berbahaya ini.”

Beliau meminta gencatan senjata dan menggesa negara-negara berpengaruh mengambil langkah konkrit untuk membantu merealisasikannya.

Sebelum mesyuarat PBB, Menteri Luar Israel, Gideon Saar, memberitahu wartawan di PBB bahawa beliau mengkritik negara-negara yang cuba menekan Israel dengan mengiktiraf sebuah negara Palestin secara “maya”, sambil menyatakan langkah itu “membunuh” perjanjian tebusan dan gencatan senjata serta memanjangkan perang.

Tiga negara Kumpulan Tujuh (G7) mengumumkan rancangan untuk mengiktiraf negara Palestin. Perancis dan Kanada berkata mereka akan berbuat demikian pada September di Perhimpunan Agung PBB. Britain juga akan menyokong penubuhan negara Palestin pada September kecuali Israel mengambil langkah berkesan untuk menamatkan penderitaan di Gaza.

Duta Amerika Syarikat ke PBB, Dorothy Shea, menyifatkan persidangan PBB minggu lalu yang menghimpunkan puluhan menteri dan menyeru dunia berusaha ke arah penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin sebagai “gimik publisiti yang tidak berfaedah” dan mendakwa menjejaskan usaha pengantara. — REUTERS

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dewan Rakyat kecoh: Mula-mula ‘mambar’, lama-lama jadi ‘mambang’

Next Post

Kuasa penting, tapi apa guna jika agama tak terbela – Presiden Nasionalis

Related Posts