BANGI, 12 SAFAR – Presiden Nasionalis, Haji Aminuddin Yahaya mengingatkan bahawa kuasa politik yang dicari tidak akan bermakna sekiranya agama terus terbiar dan bangsa terus menderita.
Beliau menegaskan, sejarah seharusnya dijadikan cermin, dan segala bentuk kerjasama politik perlulah dinilai secara teliti agar tidak merugikan Islam dan Melayu.
“Kadang kala kita perlu melihat sejarah dan mengambil pelajaran darinya. Jangan tergopoh gapah, sebaliknya buatlah kajian mendalam. Apakah kerjasama itu baik untuk agama dan bangsa atau sebaliknya?
“Kajilah pemikiran mereka, apakah mereka bersedia menyokong agenda kita atau akan mencairkan lagi prinsip yang kita pegang?
“Tidak ada masalah untuk kerjasama dengan sesiapa pun tetapi pastikan kita berada di atas bukan di bawah atau sebaris kerana itu akan menyebabkan kita terpaksa menggadaikan prinsip,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Tegas beliau, kuasa tidak boleh menjadi matlamat semata-mata sekiranya ia gagal membela nasib anak bangsa dan agama Islam itu sendiri.
“Kuasa itu penting tapi apa guna kuasa kalau anak bangsa menderita, agama tidak terbela.
“Ingat, tanah rizab Melayu hilang bukan baru, budaya dan bahasa terhakis bukan sekarang, hasil mahsul negara hilang bukan semalam, hukum hakam Islam terkubur zaman berzaman; semuanya berlaku di atas dasar ‘toleransi’.
“Di manakah noktah toleransi ini?,” soalnya.
Kenyataan itu merujuk kepada dua perkembangan politik membabitkan kerjasama rentas parti antara kelompok yang mempunyai latar ideologi berbeza.
Terbaharu, seramai 30 Ahli Parlimen DAP hadir ke Ibu Pejabat UMNO bagi menghadiri taklimat berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dianjurkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam masa yang sama, PAS menerusi Mursyidul Amnya, Hashim Jasin, turut menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan MCA dan MIC dalam Perikatan Nasional, namun menegaskan bahawa perkara itu memerlukan perbincangan lanjut di peringkat kepimpinan tertinggi gabungan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi