TEL AVIV, 19 ZULHIJJAH – Seorang penganalisis ketenteraan dan politik antarabangsa mendakwa, penduduk Israel kini mula menyedari penderitaan yang telah lama ditanggung oleh rakyat Palestin dan Lubnan, apabila serangan balas dari Iran mengakibatkan kemusnahan besar di dalam wilayah mereka sendiri.
Elijah Magnier berkata, konflik ketenteraan yang sedang memuncak antara Israel dan Iran dijangka terus memburuk, malah sokongan masyarakat Israel terhadap perang itu mungkin akan menurun sekiranya kemusnahan terus berlaku.
“Saya percaya keadaan akan terus memuncak kerana ini baru sahaja permulaan perang yang diisytiharkan Israel terhadap Iran,” katanya dalam satu temu bual bersama Al Jazeera.
Menurut Magnier, pemimpin tertinggi Israel termasuk Perdana Menteri dan pasukan tenteranya telah pun memberi amaran kepada masyarakat Israel bahawa perang ini bakal membawa penderitaan yang amat berat dan harga yang perlu dibayar sangat tinggi.
“Namun masyarakat yang menyokong Benjamin Netanyahu dan menyokong perang terhadap Iran tidak menjangkakan tahap kemusnahan yang sebegini.
“Sejak tahun 1973, Israel tidak pernah melancarkan perang ke atas sebuah negara secara terbuka dan tidak pernah diserang sebegini rupa – betul-betul di jantung Tel Aviv,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, apa yang berlaku kini membuka mata masyarakat Israel mengenai penderitaan yang dialami rakyat Palestin dan Lubnan selama ini.
“Mereka kini menyaksikan sendiri kemusnahan yang dahsyat – bangunan-bangunan di Tel Aviv dan Haifa musnah, api marak di merata tempat, harta benda lenyap sekelip mata.
“Dalam satu hari sahaja, lapan orang terbunuh, 250 cedera. Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam tempoh yang sangat lama di Israel. Masyarakat Israel sebenarnya tidak bersedia menghadapi semua ini,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi