BANGI, 7 SAFAR – Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, dipercayai akan memulakan tindakan undang-undang terhadap dua pemimpin kerajaan berhubung isu tular karikatur monyet yang dikaitkan dengannya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, isu berkenaan kelihatan semakin reda dan bahan-bahan bukti berkaitan kes itu telah banyak dikumpulkan.
“Nampak isu sudah semakin reda. Bahan-bahan pun sudah banyak dikumpulkan. Jika ada lagi, kita kumpulkan dahulu. Hari ini, mula uruskan LoD (Letter of Demand atau Surat Tuntutan) untuk dua orang terlebih dahulu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Surat Tuntutan ialah surat rasmi yang dihantar oleh seseorang atau peguam kepada pihak lain untuk menuntut pembayaran hutang, pampasan, atau pelaksanaan sesuatu obligasi dalam tempoh masa tertentu. Ia sering menjadi langkah awal sebelum tindakan undang-undang dimulakan.
Menurut Ahmad Fadhli, seorang ialah Ahli Parlimen dan seorang lagi ialah pimpinan sayap pemuda sebuah parti.
Katanya, tindakan itu diambil kerana sengaja menyebarkan tohmahan atas pemahaman yang salah berkait hantaran di alamat https://www.facebook.com/share/p/1AufwWya6u/?mibextid=wwXIfr.
Beliau juga membayangkan ada lagi individu yang akan menghadapi tindakan yang sama.
“Yang lain akan menyusul. Slow2 (perlahan-lahan), satu-satu,” katanya.
Ahmad Fadhli didakwa menghina peranan rasmi Malaysia dalam usaha diplomatik meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja menerusi satu karikatur yang dimuat naik dalam hantaran di Facebooknya.
Hantaran tersebut yang kemudian dipadamkan, memaparkan ilustrasi seekor monyet berjubah hakim yang digambarkan menjadi orang tengah antara kambing dan biri-biri simbolik yang dianggap sebagai sindiran terhadap usaha murni kerajaan Malaysia yang kini mempengerusikan ASEAN
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi