BANGI, 6 SAFAR – Keputusan untuk tidak meneruskan pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT) sekali lagi menunjukkan hipokrasi Kerajaan Madani, kata pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya.
Amira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, situasi ini membuktikan kerajaan tidak pernah serius untuk menguruskan dasar fiskal yang adil untuk semua rakyat.
“Dulu mereka (kerajaan) kata mahu cukai yang mahakaya, tetapi perancangan untuk kenalkan cukai seperti HGVT ini terus dilupakan.
“HVGT merupakan sistem cukai yang lebih komprehensif kerana ianya fokus kepada barangan tertentu sahaja dalam kehidupan mewah seperti jam tangan mewah, beg mewah, aksesori dan pelbagai lagi barangan bernilai tinggi.
“Ianya satu sistem percukaian yang lebih adik kepada rakyat malaysia kerana hanya golongan mahakaya yang akan dicukai,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam jawapan bertulis oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu dibuat memandangkan semakan SST yang diperluaskan antara lima hingga 10% telah mengambil kira barangan mewah.
Dalam pada itu, Amyra turut mengemukakan persoalan kepada kerajaan berhubung keputusan untuk tidak memperkenalkan HVGT sedangkan perluasan skop CUkai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tetap dilaksanakan.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Kementerian Kewangan memutuskan untuk tidak melaksanakan HVGT.
Katanya, ini sekali gus mencetuskan persoalan sama ada Kerajaan Madani selama ini hanya berpura-pura mahu mencukai golongan mahakaya dan menjadikan ‘inisiatif’ sebagai slogan semata-mata.
“Sekiranya barangan mewah telah dimasukkan sekali dalam peluasan skop SST, berapa anggaran hasil cukai yang akan diterima oleh kerajaan dan bagaimana kerajaan mahu klasifikasikan hasil tersebut adalah daripada barangan mewah?
“Saya fikir kerajaan masih keliru dengan pengelasan barangan yang dikenakan cukai SST sehingga barangan asas pun naik cukai, tetapi bukan barangan mewah.
“Dulu kerajaan umumkan boleh jana hasil cukai sebanyak RM700 juta menerusi HVGT. Apa perancangan kerajaan untuk menggantikan anggaran hasil tersebut,” demikian antara soalan yang diajukan kepada kerajaan.
Tambah Amira, kerajaan perlu ingat bahawa pemimpin perlu membela rakyat marhaen dan bukannya menyelamatkan golongan elit.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi