SELASA, 23 NOVEMBER – Jika sebelum ini kecoh dengan kenaikan harga ayam, kali ini harga sayur pula didakwa meningkat sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menerima aduan daripada peruncit mengenai kenaikan harga barangan berkenaan.
“Kita menggesa KPDNHEP serta FAMA mengambil langkah segera menangani kenaikan harga sayur-sayuran yang meningkat sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.”
– Mohideen Abdul Kader, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Beliau berkata, beberapa peruncit turut mengadu pengedar dan pemborong sudah memberi amaran harga sayur-sayuran lain mungkin akan naik dalam beberapa minggu akan datang.
Sehubungan itu beliau menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah segera menangani kenaikan harga sayur-sayuran yang meningkat sehingga 200% sejak dua minggu lalu.
Ujar Mohideen, tindakan tegas perlu diambil terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan serta melanggar Akta Anti-Pencatutan 2010.
Kenaikan harga sayur-sayuran itu ialah kubis bunga yang naik dari RM7 kepada RM16 sekilogram. Sawi pendek dari RM3 kepada RM9, sebelum ini brokoli RM8 naik kepada RM20 dan sawi RM5 kepada RM8.
Turut mengalami kenaikan ialah kacang buncis dari harga RM8 kepada RM15 sekilogram; kubis RM4 kepada RM6; cili merah RM13 kepada RM19 dan cili hijau RM10 kepada RM14.