BANGI, 19 JAMADILAKHIR – Usaha mendedahkan lokasi binaan rumah ibadat haram bukan untuk menghina mana-mana agama, sebaliknya bertujuan menentang perbuatan pencerobohan tanah.
Aktivis tanah, Tamim Dahri berkata, isu berkenaan sewajarnya dipandang serius oleh semua pihak sama ada pihak berkuasa mahu pun rakyat kerana ia adalah kanser di negara ini.
Katanya, sekiranya isu ini tidak ditangani segera maka ia akan merebak secara meluas dan berpotensi mencetuskan masalah yang lebih besar pada masa hadapan.
“Data dan maklumat yang saya terima menunjukkan begitu banyak pembinaan rumah ibadat secara haram.
“Ini adalah satu bukti berlakunya pencerobohan tanah secara meluas.
“Usaha mendedahkan binaan haram ini bukan kerana nak ‘serang’ mana-mana agama, sebaliknya kita mendedahkan pencerobohan yang sedang berlaku,” katanya kepada TV Pertiwi.
Sebelum ini, Tamim menyatakan sebanyak 80 lokasi binaan rumah ibadat haram telah didedahkan menerusi saluran maklumat orang ramai dan data kerajaan.
Semua lokasi itu telah ditandakan dalam portal tanahmalaya.com, laman web yang dibina untuk mendedahkan lokasi-lokasi binaan rumah ibadat haram selain menandakan kawasan tanah rizab Melayu.
Tamim menegaskan, usaha yang dilakukan itu juga sebagai menggesa pihak berkuasa untuk bertindak menggunakan undang-undang sedia ada.
Dalam pada itu , Tamim akui menerima begitu banyak gangguan daripada pihak atau individu yang tidak ‘selesa’ dengan pendedahan lokasi rumah ibadat.
Lebih mengecewakan, Tamin menyatakan terdapat pihak yang cuba mengaitkan usaha tersebut sebagai tindakan ‘menyerang’ agama tertentu.
“Kalau terima panggilan dan ‘whatsapp’ daripada individu yang tak dikenali itu sudah biasa. Saya abaikan sahaja.
“Usaha mendedahkan lokasi binaan rumah ibadat haram tidak akan berhenti. Saya yakin usaha ini sebenarnya mendapat sokongan ramai termasuk dalam kalangan komuniti setempat,” tambah beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi