BANGI, 6 SAFAR – Kumpulan hak wanita, Sisters in Islam (SIS) telah menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada nama yang digunakan secara umum susulan titah nasihat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, kata Pengarah Eksekutif SIS.
Pengarahnya, Rozana Isa berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat agung luar biasa yang diadakan pada 11 Julai lalu, dan kini akan menggunakan nama berdaftarnya, SIS Forum (Malaysia).
“Walaupun kami menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada nama pena kami, kami tetap teguh dalam komitmen memperjuangkan kesaksamaan jantina dan keadilan dalam undang-undang keluarga Islam.
“Akhirnya, yang paling penting adalah usaha kami untuk wanita Islam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Terdahulu, Sultan Selangor menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh pemakaian fatwa bertarikh 31 Julai 2014 yang tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia), pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu.
Menerusi kenyataan di Facebook milik Selangor Royal Office, baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan “Islam” dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.
Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, baginda selaku Ketua Agama Islam Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan “Sisters in Islam” ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.
Mengulas lanjut, Rozana berharap keputusan itu akan menamatkan pertikaian yang telah lama berlarutan berkaitan nama kumpulan itu dan membolehkannya terus bekerjasama ‘dengan semua pihak secara berhemah’.
“Supaya perkataan “Islam” tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” menurut kenyataan itu.
Katanya, SIS Forum akan terus bekerjasama dengan sarjana, pemimpin komuniti dan institusi bagi memastikan tiada wanita yang tercicir dalam usaha menuntut keadilan.
“Wanita itu setara di sisi Tuhan. Maka, sewajarnya mereka juga dilihat dan dilayan sebagai setara di sisi manusia,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi