Lencana Jalur Gemilang: KPM patut utamakan kemudahan sekolah

BANGI, 19 SAFAR – Kementerian Pendidikan (KPM) disaran mengutamakan peruntukan sedia ada untuk menambah atau menaik taraf kemudahan sekolah demi meningkatkan kualiti pembelajaran.

Ketua Cabang PKR Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, perbelanjaan melibatkan jutaan ringgit dalam membekalkan lencana Jalur Gemilang tidak mempunyai makna sekiranya suasana di sekolah tidak selesa untuk pelajar dan guru selain tidak memberi inspirasi kepada pembelajaran.

Beliau berkata, sebagai individu yang bertugas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen, pihaknya sentiasa menerima permohonan bantuan melibatkan kemudahan sekolah termasuk menambah baik infrastruktur serta peralatan asas.

“Hampir setiap minggu, kami menerima pelbagai permohonan bantuan, ada yang memohon naik taraf kemudahan sekolah, ada yang minta peralatan seperti Smart TV atau Smart Board untuk pembelajaran interaktif dan tak kurang juga memohon baik pulih tandas, bilik darjah, bumbung bocor serta peralatan asas lain.

“Bagi saya, perkara sebegini sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan.

“Ya, saya faham lencana Jalur Gemilang melambangkan semangat patriotik, tetapi realitinya ramai murid tidak memakainya secara konsisten,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau semalam.

Semalam, TV Pertiwi melaporkan kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM8.4 juta bagi perolehan lencana Jalur Gemilang kepada pelajar sekolah di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peruntukkan itu meliputi 5.14 juta pelajar di sekolah, kolej matrikulasi, Kolej Tingkatan 6 dan institut pendidikan guru (IPG) dengan setiap orang diberikan dua lencana.

Mengulas lanjut, Murad akui bahawa semangat patriotik amat penting, namun katanya, ia akan lebih bermakna jika disemai dalam suasana sekolah yang selesa, lengkap dan mendorong minat belajar.

“Jika dana besar ini dapat disalurkan terus kepada pembaikan kemudahan sekolah, saya yakin murid dan guru akan lebih bersemangat dan secara tidak langsung, semangat cintakan negara juga akan subur dengan sendirinya,” tambah beliau.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

AGC arah inkues siasat punca kematian Zara Qairina

Next Post

Pengawal keselamatan hina Nabi Muhammad SAW didenda RM5,000

Related Posts