BANGI, 3 SAFAR – Pemimpin Thailand dan Kemboja mengesahkan akan menghadiri sesi perundingan damai serantau di Putrajaya, hari ini bagi membincangkan konflik sempadan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara.
Jurucakap Kerajaan Thailand, Jirayu Huangsap berkata, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, menjemput kepimpinan Thailand untuk membincangkan konflik itu.
“Pemangku Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai akan mengetuai delegasi Thailand yang turut disertai Menteri Luar, Maris Sangiampongsa; Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Natthaphon Nakpanich dan pegawai kanan lain ke sesi perundingan di Pejabat Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Bangkok, semalam.
Jirayu berkata, delegasi Thailand dijadual berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand jam 10.30 pagi, manakala mesyuarat dijadual bermula pada pukul 3 petang.
“Tujuan rundingan ini adalah mendengar cadangan ke arah keputusan yang lebih bijak dan akhirnya mengembalikan keamanan. Kerajaan Thailand kekal teguh dalam komitmen untuk mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah negara,” katanya.
Sementara itu Perdana Menteri, Hun Manet, akan mengetuai delegasi Kemboja ke Malaysia hari ini bagi menghadiri rundingan damai itu.
Pengumuman itu dibuat Hun Manet menerusi hantaran di Facebook, lewat malam tadi.
“Saya akan mengetuai delegasi Kemboja ke mesyuarat khas di Kuala Lumpur yang dianjurkan Malaysia.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atas inisiatif dan usaha menyelaras penganjuran mesyuarat ini,” katanya.
Sementara itu malam tadi, Anwar mengesahkan beliau akan mengadakan pertemuan bersama pemimpin Thailand dan Kemboja, di Putrajaya, hari ini, bagi membincangkan konflik kedua-dua negara berkenaan.
Rundingan dijadual berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada jam 3 petang dan akan dipengerusikan oleh Anwar sebagai Pengerusi ASEAN.
Anwar berkata, kedua-dua negara meminta Malaysia menjadi pengantara untuk mencari penyelesaian.
“Mereka (wakil kerajaan Thailand dan Kemboja) meminta saya untuk berunding mengenai satu penyelesaian damai, jadi Malaysia akan menjadi tuan rumah mesyuarat itu hari ini.
“Saya sedang membincangkan parameter, syarat-syaratnya, tetapi apa yang penting ialah gencatan senjata serta-merta,” katanya pada Majlis Ilmu Madani di Putrajaya, malam tadi.
“Saya diberi kepercayaan untuk mempengerusikan pertemuan tersebut selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dan pada masa ini saya sedang memperincikan beberapa peraturan serta garis panduan yang perlu dipatuhi.
“Apa yang penting adalah menghentikan tembakan dengan serta-merta. Pasukan dari negara jiran juga akan dipanggil bagi memantau pelaksanaan gencatan senjata ini dan saya berharap usaha ini akan berhasil,” katanya.
Katanya, Menteri Luar dan Kementerian Luar Negeri sedang giat memastikan segala aspek jelas dan teratur.
Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara memuncak pada 25 Julai lalu membabitkan pertempuran bersenjata di kawasan sempadan utara Kemboja.
Pertempuran terbaharu itu dilaporkan mengorbankan lebih 20 nyawa di pihak Thailand.
Pihak berkuasa Kemboja pula memaklumkan lima anggota tentera dan lapan orang awam terbunuh, manakala ribuan penduduk dipindahkan di kedua-dua belah sempadan.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja meningkat sejak 28 Mei lalu susulan insiden konfrontasi antara anggota tentera berhampiran kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan, mengakibatkan kematian seorang tentera Kemboja.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu telah lama tidak bersependapat mengenai jajaran sepanjang 817 kilometer sempadan yang belum dimuktamadkan, yang terus menjadi punca ketegangan dan tekanan diplomatik.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi