Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 20 SYAABAN — Presiden Mesir akan bermesyuarat di Riyadh, Arab Saudi esok bagi membincangkan pelan alternatif pembangunan semula Gaza.
Dua sumber keselamatan Mesir berkata Abdel Fattah Al-Sisi akan berbincang bersama Arab Saudi, Jordan, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berhubung pelan alternatif itu, lapor Reuters.
“Perbincangan menjurus kepada dana AS$20 bilion (RM89 bilion) dari negara Arab untuk pembinaan semula Gaza.
“Negara-negara Arab dijangka membincangkan rancangan pasca perang untuk Gaza bagi menolak cadangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump,” dedah sumber itu.
Trump sebelum ini berhasrat mengusir rakyat Palestin dari Gaza bagi membangunkan wilayah itu sebagai pantai peranginan di Timur Tengah.
Cadangan itu bagaimanapun ditentang pemimpin negara Arab dengan menyifatkan usaha Trump itu satu bentuk penjajahan kepada bumi Palestin.
Pemimpin lima negeri itu akan bertemu di Riyadh esok bagi membincangkan rancangan negara Arab dalam pelan pembangunan Gaza.
Rancangan yang diputuskan esok akan dibawa ke Sidang Kemuncak Arab yang dijadualkan pada 4 Mac ini.
Negara Arab bercadang mengangkat rancangan Mesir yang mahu satu jawatankuasa kebangsaan rakyat Palestin ditubuhkan bagi mentadbir Gaza.
Pelan itu dirancang tanpa penglibatan Hamas dan masyarakat antarabangsa dalam membina semula Gaza tanpa mengusir rakyat Palestin.
Pensyarah UAE, Abdulkhaleq Abdullah membayangkan AS$20 bilion satu jumlah yang besar bagi Trump untuk bersetuju dengan cadangan negara Arab.
“AS$20 bilion jumlah yang menarik untuk Trump yang pastinya memanfaatkan syarikat AS dan Israel,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: